Guru disaran bantu banteras jenayah seksual kanak-kanak - Azalina

16 Mar 2024 • 5:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azalina

SHAH ALAM - Warga pendidik khususnya guru disaran memberi kerjasama melaporkan kejadian jenayah seksual membabitkan kanak-kanak sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana dapatan pihaknya mendapati kes sedemikian gagal dilaporkan oleh warga pendidik sekali gus menyukarkan pihak berkuasa melindungi mangsa serta mengambil tindakan terhadap pelaku.

Beliau berkata, para pendidik perlu tahu bahawa mereka juga boleh didakwa sekiranya mengambil sikap tidak ingin masuk campur terhadap aduan atau luahan daripada murid yang mendakwa menjadi mangsa jenayah itu sebagaimana diperuntuk di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

"Harapan kita ialah dalam tempoh lapan jam mereka berada di sekolah, cikgu dan guru besar boleh menjadi mata dan telinga untuk membantu kami mencari penyelesaian kepada kes jenayah itu... Kami mahu lebih ramai guru tampil membuat laporan berhubung perkara itu.

"Yang pemangsa itu dah tentu salah tetapi cikgu-cikgu janganlah diam dan tak ingin masuk campur kerana ia adalah satu kesalahan... kerana jika anda tahu dan anda tidak melaporkannya, anda boleh didakwa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Mengenai Perlindungan Murid Daripada Ekploitasi Seksual di sini pada Sabtu.

Untuk rekod, Seksyen 19 memperuntuk hukuman ke atas mana-mana individu yang tidak memberikan maklumat mengenai perlakuan atau niat mana-mana individu lain untuk melakukan kesalahan itu.

Akta itu juga menghendaki mana-mana orang yang mempunyai maklumat sedemikian melaporkannya di balai polis berdekatan dan jika gagal berbuat demikian, boleh disabitkan kesalahan serta berdepan denda maksimum RM5,000.

Azalina juga berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) akan terus menjalin kerjasama dengan kementerian lain yang berkaitan bagi memastikan undang-undang di bawah akta itu mempunyai impak sepatutnya dalam kalangan masyarakat.

"Sebab itu kami mengambil pendekatan berbeza kali ini iaitu bekerjasama dengan semua pihak berkaitan iaitu bukan hanya memiliki undang-undang yang bagus malah memastikan pihak sekolah dan para guru akan membantu kami dalam melaksanakannya,” kata beliau.

Beliau berkata, para pendidik juga sering diingatkan agar memberi lebih perhatian terhadap murid di sekolah dan mengamalkan sikap ambil tahu jika mendapati wujud tanda-tanda jenayah seksual berlaku terhadap kanak-kanak di sekolah masing-masing.

Terdahulu, konvensyen sehari itu menyaksikan pemeteraian kerjasama di antara BHEU dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung perkongsian data dan statistik kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, memperbaharui modul latihan untuk guru serta warga KPM selain penganjuran program kesedaran mengenai hak kanak-kanak dan keselamatan diri.

Kerjasama yang membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam sistem pendidikan itu akan berlangsung untuk tempoh dua tahun. - Bernama