Guru disiplin diminta hentikan budaya 'ragging' di sekolah Zara Qairina

LocalPolitics
4 Dec 2025 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zara Qairina

KOTA KINABALU - Guru disiplin di tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir diminta untuk mengambil langkah lebih tegas dan sistematik dalam menghentikan budaya ‘ragging’ serta sebarang bentuk buli di kawasan asrama, termasuk melalui pemantauan berterusan dan pelaksanaan soal selidik berkala terhadap pelajar.

Cadangan itu dikemukakan oleh peguam Shahlan Jufri ketika sesi soal balas terhadap saksi, Nur Shukriah Mohd Fauzi, yang merupakan guru disiplin sekolah berkenaan, dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini pada Khamis.

Shahlan dalam soalannya meminta pandangan saksi tentang peranan unit disiplin dalam menangani isu buli yang didakwa berlaku dalam kalangan pelajar senior terhadap junior di asrama.

Peguam itu mencadangkan agar unit disiplin melaksanakan pendekatan proaktif melalui pemantauan konsisten dan soal selidik bertulis, khususnya kepada pelajar baharu di sekolah tersebut.

“Memandangkan cikgu seorang guru disiplin, saya ingin bertanyakan pendapat cikgu, sama ada unit disiplin boleh melakukan tindakan ini untuk menghentikan ragging ataupun mana-mana tindakan buli di asrama, iaitu dengan membuat pantauan secara berterusan kepada pelajar-pelajar ini dengan memberikan soalan-soalan dalam bentuk bertulis secara konsisten.

Contohnya, soalan selidik pernahkah mereka disuruh seterika baju, pernahkah mereka disuruh tidur di atas lantai, pernahkah mereka disuruh mengambil pakaian ataupun pernahkah mereka dimaki, diugut, diancam oleh pelajar-pelajar senior.

Beliau menegaskan bahawa langkah awal perlu dilakukan tanpa menunggu laporan rasmi pelajar kepada pihak sekolah atau unit disiplin.

“Sebab pemahaman saya, kita tidak boleh menunggu laporan baru bertindak. Selepas ini, kita perlu membuat tindakan drastik… terutamanya kepada pelajar-pelajar senior. Sebab cikgu, semasa inkues ini berjalan, ada seorang pelajar, pengawas, telah menangis dalam inkues ini atas apa yang terjadi beberapa tahun lepas.

Nur Shukriah yang juga saksi ke-53 dalam inkues ini bersetuju dengan cadangan tersebut namun mengatakan bahawa langkah itu sudahpun dilaksanakan pada tahun lalu semasa beliau memegang jawatan sebagai penolong ketua guru disiplin.

“Kalau ikutkan sebelum ini memang pernah. Lama sudah tidak dibuat sebenarnya, kali terakhir saya buat tahun lepas sebab tahun lepas saya penolong ketua guru disiplin.

"Jadi saya mengambil alih, saya pernah jumpa anak-anak ini biasanya yang baru masuk memang kami jumpa. Cuma tahun ini mungkin kekangan disebabkan tugas kami, dengan jadual guru agama sangat padat. Jadi kekurangan guru agama di sekolah kami, maksudnya dalam kalangan disiplin tahun ini, ramai dalam kalangan guru agama," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa program itu sebenarnya berkesan ketika dilaksanakan.

"Maksudnya apa yang Tuan cakap, saya pernah buat tahun lepas dan sangat berkesan benda itu sebenarnya. Insya-Allah kami akan teruskan. Itulah, rasa ralat juga di situ (dihentikan selepas tahun lalu)," jelasnya kepada Shahlan.