
Oleh Azreen Hazrina Hassan
SHAH ALAM, 5 JUL: Sebuah program pendidikan lestari dikenali sebagai Green Wira Programme kini diperluas ke sekolah-sekolah seluruh negara, dengan matlamat membudayakan amalan sifar sisa bermula dari peringkat bilik darjah.
Dianjurkan oleh badan bukan kerajaan Zero Waste Malaysia (ZWM), program ini bertujuan melatih guru sebagai ejen perubahan dalam pendidikan kelestarian, selain menggalakkan perubahan tingkah laku pelajar terhadap pengurusan sisa, khususnya plastik.
“Inti utama Green Wira adalah untuk mendidik pendidik supaya mereka boleh menyampaikan ilmu dan nilai kelestarian kepada pelajar, seterusnya mendorong perubahan tingkah laku dari peringkat awal,” kata Irene Chooi, Pengurus Green Wira Programme.
Sejak diperkenalkan pada 2023, lebih 350 guru dari seluruh negara telah menyertai program ini menerusi dua kohort. Kohort pertama melibatkan tiga sekolah rintis berimpak tinggi manakala kohort kedua sedang berlangsung di peringkat kebangsaan dengan skala yang lebih luas.
Setakat ini, program ini telah memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada lebih 33,000 murid dan guru, selain mencatat pengurangan 1,280 kilogram karbon setara.

Antara sekolah yang terlibat dalam kohort pertama termasuk Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang, yang membina kemudahan Materials Recovery Facility (MRF) untuk mengurus bahan kitar semula. Berdasarkan laporan audit sisa, jumlah sisa yang dialihkan daripada tapak pelupusan meningkat lebih dua kali ganda berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati menjalankan projek penukaran lampu di dua blok bangunan sekolah kepada lampu LED serta membina sistem tadahan air hujan bagi menjimatkan penggunaan tenaga dan air.
Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Serdang Baru 2 pula, pihak sekolah memperkenalkan projek Snacky Box, penggunaan bekas makanan keluli tahan karat boleh lipat untuk mengurangkan kebergantungan kepada plastik sekali guna di kantin sekolah.
Projek ini disambut hangat sehingga diperluas dari 3 bulan kepada 5 bulan dengan penglibatan aktif 200 pelajar dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Namun menurut Irene, cabaran utama program ini ialah kurangnya kesedaran dan salah tanggapan masyarakat terhadap konsep kitar semula.
“Ramai orang tak tahu bahawa bukan semua plastik boleh dikitar semula. Ada yang tak dilabel, dan tidak semua fasiliti boleh proses semua jenis plastik,” katanya.
Tambah beliau, masalah sebenar bukan hanya plastik, tetapi budaya kemudahan yang menggalakkan penggunaan bahan sekali guna secara berleluasa.
“Kalau kita boleh hentikan plastik daripada digunakan langsung, kita tak perlu pun kitar semula,” katanya.
Menerusi pengalaman lapangan dan impak yang dilihat, ZWM kini menggesa agar pendidikan kelestarian dijadikan subjek wajib dalam sistem pendidikan negara.
“Struktur lima R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Rot) dalam pendekatan sifar sisa mudah difahami dan boleh diterapkan dalam pembelajaran. Kami harap dapat bentang data kepada kerajaan dan buktikan keperluannya,” jelas Irene.

ZWM kini diiktiraf sebagai Rakan Strategik Pelan Sisa Sifar DBKL dan Panel Perunding Rang Undang-Undang Iklim Negara (NRES).
Bagi menyokong pelaksanaan program, ZWM menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk latihan, pementoran, dana, serta komuniti sokongan melalui grup alumni WhatsApp & Telegram dan majlis graduasi tahunan dengan penyertaan lebih 1,000 peserta.
Malah, pelbagai sumber pendidikan turut ditawarkan secara percuma seperti TrashPedia, panduan 101 barangan harian dan cara kitar semula dalam 4 bahasa.
Terdapat juga Zero Waste Malaysia Map, lokasi pusat kitar semula & perniagaan lestari. Selain itu, Buku Panduan Acara & Kehidupan Sifar Sisa yang boleh dimuat turun di dalam peranti mudah alih.
Disokong guru dan komuniti, Green Wira Programme menggerakkan amalan hijau di peringkat sekolah. Inisiatif seperti kantin tanpa plastik dan pengurangan karbon menunjukkan peranan pendidikan dalam memupuk kesedaran alam sekitar.
The post Guru ejen perubahan, Green Wira galak transformasi hijau (VIDEO) appeared first on Selangorkini.


