
Usaha luar biasa guru-guru di Sarawak ketika musim banjir
Guru-Guru Di Sarawak Ini Sanggup Redah Banjir, Pastikan Pelajar Dapat Duduki Peperiksaan. Banjir yang melanda Sarawak baru-baru ini bukan sahaja memberi cabaran besar kepada penduduk, tetapi juga mendedahkan kisah-kisah luar biasa yang membuktikan dedikasi guru terhadap anak murid mereka.
Dalam keadaan mencabar, guru-guru ini sanggup meredah air, berdepan risiko dan mengatur strategi demi memastikan pelajar mereka dapat hadir ke sekolah dan menduduki peperiksaan dengan selamat.

Guru Bahasa Iban dari SMK Sungai Paoh
Dalam perkongsian di Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, di Sarikei, seorang guru Bahasa Iban dari SMK Sungai Paoh, Cikgu Caroline anak Mumin, tidak berdiam diri apabila mendapati salah seorang calon peperiksaan terkandas akibat banjir. Beliau menunggu di seberang jalan untuk memastikan pelajar tersebut dapat sampai ke sekolah dengan selamat.
Bukan sekadar itu, pihak sekolah turut mengambil langkah proaktif dengan menghubungi pelajar melalui WhatsApp dan meminta mereka bersiap sedia untuk bermalam di asrama. Ini bagi memastikan mereka mempunyai akses kepada ulangkaji yang lebih baik dan tidak terhalang daripada menghadiri peperiksaan penting seperti Perniagaan, Biologi, KMK, dan Geografi.


Dua orang pelajar terkandas akibat banjir di kawasan Ulu Anap
Di tempat lain, seorang lagi guru mengambil tindakan drastik apabila dua orang pelajarnya terkandas akibat banjir di kawasan Ulu Anap. Dengan bantuan anggota tentera yang bertugas di Pusat Pemindahan Sementara Rumah Steven Ulu Anap, guru ini berjaya menjemput mereka.
Walaupun laluan dipenuhi air, guru berjiwa kental ini tetap merempuh banjir dengan pacuan empat roda untuk memastikan anak muridnya tidak terputus hubungan dengan sekolah. Ketika ini, keadaan banjir di Tatau masih kritikal, dengan seramai 731 mangsa berlindung di SMK Tatau.
Kisah ini membuktikan bahawa guru bukan sekadar pendidik di dalam kelas. Mereka juga adalah penyelamat, penjaga, dan penyokong utama dalam memastikan pendidikan pelajar tidak terjejas walaupun berdepan dengan bencana alam.
Tidak lupa juga, penghargaan buat pasukan tentera yang sudi menghulurkan bantuan dalam usaha menyelamatkan pelajar ini.
Lagi berita terkini untuk anda di sini:



