Guru KAFA, takmir di Perak terima duit raya RM500

LocalPersonal Finance
24 Mar 2025 • 4:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saarani.

IPOH - Seramai 3,495 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian itu melibatkan 3,117 guru KAFA dan 378 guru takmir dengan peruntukan mencecah RM1.75 juta.

Menurut beliau, bayaran itu akan dikreditkan ke akaun penerima bermula Jumaat ini.

"Bagi menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik agama Islam, kerajaan negeri membuat keputusan memperluaskan pemberian BKK Aidilfitri supaya turut dinikmati guru KAFA dan guru takmir.

"Diharapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban kewangan golongan berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri serta menyemarakkan lagi kegembiraan dalam menyambut lebaran yang bakal tiba," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan pemberian BKK Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada 13,582 penjawat awam negeri termasuk guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, ketua kampung dan kakitangan di bawah kontrak Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).