Guru kaitkan kematian Zara Qairina akibat mesin basuh didakwa pagi ini

LocalPolitics
21 Aug 2025 • 8:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang guru bakal didakwa susulan penyebaran maklumat palsu mengenai kematian Zara Qairina melalui TikTok diklasifikasikan sebagai 'content' semata-mata. - Gambar hiasan

SEPANG – Gara-gara menyebarkan maklumat bahawa Zara Qairina meninggal dunia akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh, seorang guru akan didakwa di mahkamah pagi ini.

Prosiding melibatkan guru sekolah menengah itu akan berlangsung di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang pada jam 8.30 pagi, membabitkan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penyebaran maklumat palsu itu dilakukan wanita berkenaan menerusi akaun TikTok SHA_Abrienda baru-baru ini.

Pendakwaan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dalam sidang media pada 13 Ogos lalu memaklumkan bahawa seorang wanita berusia 39 tahun turut ditahan di Rawang, Selangor kerana dipercayai menyebarkan maklumat tidak benar berhubung kes itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa guru terbabit mengakui kandungan TikTok yang menyatakan Zara Qairina mati dengan cara dimasukkan ke dalam mesin basuh hanyalah sekadar ‘content’.

Pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.

Beliau kemudiannya meninggal dunia pada 17 Julai, sehari selepas kejadian.

Kematian Zara Qairina mencetuskan fenomena dan tanda pagar #JusticeforZaraQairina yang sekali gus memberi tekanan terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak berkuasa susulan pendedahan oleh individu yang mendakwa sebagai ahli keluarga mangsa di Facebook menjadi tular.

Lagi artikel berkaitan: