![Image from: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/sekolah-terapung_9.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bila sebut tentang sekolah, pasti ramai sudah membayangkan bangunan setinggi dua atau tiga tingkat lengkap dengan beberapa kemudahan seperti padang dan kantin.
Sesetengah sekolah di kawasan pedalaman juga kadangkala turut mempunyai kemudahan asas yang sama seperti bilik darjah serta padang yang disediakan khusus buat murid.
Namun pernah tak anda terfikir tentang kewujudan sekolah terapung atau sekolah di atas air? Pasti ramai yang pertama kali mendengar tentang kewujudan sekolah sebegini.
Apatah lagi baru-baru ini, tular di media sosial perkongsian seorang guru tentang suasana perhimpunan pagi di Sekolah Terapung Sungai Chiong yang terletak di Tasik Temenggor, Gerik, Perak.
Video itu nyata mendapat perhatian sehingga ramai yang teruja dan tidak menyangka wujud sekolah terapung sebegitu.
Sekolah Terapung Inisiatif Khas KPM Bantu Anak Orang Asli Dapat Akses Pendidikan
Kongsi guru sekolah berkenaan, Muhammad Syauqi dalam satu hantaran di Facebook, sekolah terapung itu merupakan inisiatif khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan anak-anak Orang Asli mendapat akses pendidikan di kawasan pedalaman, Gerik, Perak.
Terangnya, sekolah yang mula beroperasi pada Oktober 2025 melibatkan seramai 40 orang pelajar dari tiga buah kampung iaitu:
- Sungai Chiong
- Tebang
- Charok Bus
Jelas beliau, dek kerana sekolah berhampiran kampung ini terletak di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun yang memerlukan murid menaiki bot selama 30 hingga 40 minit dan disambung dengan perjalanan darat, maka terhasillah program khas, sekolah terapung ini.
“Disebabkan faktor jarak dan akses jalan untuk ke sekolah yang masih menggunakan laluan air, anak-anak di tiga perkampungan ini kebanyakannya tidak hadir ke sekolah.
“Jadi, sekolah terapung ini merupakan inisiatif KPM agar anak-anak Orang Asli di sini tidak mengalami keciciran,” kongsinya.
![Image from: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/sekolah-terapung_7-1024x768.jpg)
Rumah Bot Berfungsi Sebagai Sekolah, Ada Pemandu Bot Ambil Pelajar Dari Kampung
Kongsinya lagi, proses pembelajaran hanya berlangsung selama tiga hari iaitu dari Isnin sehingga Rabu bermula jam 8 pagi sehingga 1.30 petang.
Menariknya, sepanjang tiga hari itu, guru yang terlibat akan tinggal di rumah bot yang berfungsi sebagai sekolah sebelum sambung mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Kemar.
![Image from: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/sekolah-terapung_8-1024x768.jpg)
Manakala, pelajar akan datang ke rumah bot itu setiap hari dengan menaiki bot yang menjemput dan menghantar mereka ketika sesi persekolahan.
Kongsi Muhammad Syauqi kepada BuzzKini, pelajar yang menghadiri sekolah ini terdiri daripada mereka yang berusia 6 hingga 16 tahun.
Walau bagaimanapun, kesemua murid akan dibahagikan kelas mengikut umur bagi memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar.
Malah, menerusi ruangan komen, Muhammad Syauqi mendedahkan silibus yang digunakan oleh mereka berbeza dengan sekolah biasa dan mengikut panduan yang diberikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Siap Ada Tukang Masak Sediakan Makanan Buat Murid
Menerusi perkongsian itu, dia berkongsi beberapa keping gambar yang menunjukkan suasana sebenar sekolah terapung ketika waktu persekolahan.
![Image from: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/sekolah-terapung_11-1024x768.jpg)
Sama seperti pelajar sekolah lain, terdapat tukang masak yang akan menyediakan makanan buat murid untuk dijamah ketika waktu rehat.
Kongsinya lagi, seramai 3 orang guru ditugaskan secara bergilir pada setiap minggu untuk mengajar pelajar berkenaan.
Sekolah Terapung Sungai Chiong di Tasik Temenggor, Gerik, PerakAku kongsikan semula maklumat berkaitan sekolah…
Posted by Muhammad Syauqi on Friday 17 April 2026
Pengguna Media Sosial Teruja, Ada Yang Kagum Dengan Sifat Guru
Perkongsian Muhammad Syauqi nyata mendapat perhatian pengguna media sosial malah turut dikongsikan semula di platform Threads.
Mengintai ke ruangan, ramai yang memuji dan kagum dengan semangat guru sekolah berkenaan dalam mendidik pelajar walaupun jauh di pedalaman.
Malah, ada yang turut menzahirkan ucapan terima kasih atas pengorbanan mereka yang tidak berkira dalam mencurahkan ilmu kepada anak murid.
Bukan itu sahaja, ramai juga yang teruja dengan kewujudan sekolah terapung yang bagi mereka pertama kali mengetahui tentang sekolah sebegitu.
Ini antara komen pengguna media sosial:
“Semoga Allah Beri Ganjaran Kepada Guru-Guru & Staf Yang Berkhidmat Jauh Di Pedalaman”
![Image from: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/sekolah-terapung_2.jpg)
“Anda Sepatutnya Dapat Anugerah Guru Cemerlang Sepanjang Musim”
![Image from: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/sekolah-terapung_1.jpg)
“Bagusnya! Semoga Anak-Anak Berjaya Hingga Universiti & Bakal Membela Nasib Orang Asli Di Malaysia”
![Image from: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/sekolah-terapung_3.jpg)
“Cikgu-Cikgu Memang Hebat, Tinggal Keluarga Bermalam Di Rumah Bot, Tabik La Pengorbanan Cikgu Tu”
![Image from: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/sekolah-terapung_4.jpg)
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Duduk Di Pedalaman Tiada Elektrik, Hanya Berbekal 1 Lampu Solar Buat Ramai Sebak [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Guru Di Sabah Kongsi Hanya Seorang Sahaja Murid Dalam Kelas [Video]



