
Guru Kontrak Indonesia Dedah Gaji Sebulan, “Hanya Bertahan Seminggu”
Tugas sebagai seorang guru bukan setakat mengajar di dalam kelas, mereka juga berperanan membentuk anak-anak bangsa menjadi insan yang berguna. Pengorbanan mereka tiada tolok bandingnya dan wajar dihargai dengan sebaiknya.
Bercakap mengenainya, rakyat Indonesia kini kembali kecoh dengan isu bayaran gaji untuk guru-guru di sana. Khasnya bagi kebanyakan guru kontrak atau dipanggil guru honorer, gaji yang mereka dapat hanya dalam jumlah yang kecil.
Susulan itu juga, tular satu video yang dimuat naik oleh seorang guru kontrak di sana yang menunjukkan jumlah gaji yang diterimanya untuk sebulan.
Hanya bertahan seminggu
Menerusi akaun @ibnukimin_21 di TikTok, dia dilihat mengeluarkan sejumlah wang dari sampul yang dipercayai berjumlah 350,000 rupiah (sekitar RM90.94).
“Bila guru honorer dapat gaji. Hanya bertahan seminggu, dua minggu selebihnya bergantung kepada Tuhan Yang Maha Kaya,” katanya menerusi kapsyen di video itu.
Perkongsiannya membuatkan ramai warganet terutama dari Malaysia terkejut dengan jumlah gaji terbabit.
“Serius tanya, kenapa gaji guru sikit sangat, kita pandai membaca dan menulis sebab mereka yang ajar, kenapa gaji mereka cuma sebanyak itu?,” tanya seorang warganet di ruang komen.
Dalam masa yang sama, ramai juga warganet Indonesia yang menasihatkan guru terbabit kekal positif kerana walaupun gaji sedikit, dia mendapat barakah yang besar.
Menerusi perkongsian video sama di akaun Inilah.com, ramai warganet Malaysia menghujani komen.
“Allah RM90 sebulan nak makan apa weh?Rakyat Indo kena bersuara, kesian cikgu-cikgu dekat sana, pekerjaan mulia tapi gaji berkira-kira nak bagi,” kata seorang warganet.
“RM90 sebulan? Aku sehari boleh habiskan RM100 tau untuk makan dan grab. Ya Allah, kesian betul nasib guru-guru kat sana,” kata seorang lagi.
Untuk pengetahuan, guru kontrak di sana belum mendapat status sebagai penjawat awam tetap dan sesetengah dari mereka perlu menunggu selama bertahun-tahun untuk menerima tawaran sebagai guru tetap.
Menurut BBC Indonesia, kajian IDEAS pada Mei 2024 mendapati 47 peratus guru kontrak di negara itu masih diupah di bawah 1 juta rupiah (lebih RM200) sebulan.
Sumber: ibnukimin_21
The post Guru Kontrak Indonesia Dedah Gaji Sebulan, “Hanya Bertahan Seminggu” appeared first on Siakap Keli.


