Guru KV Keningau Sabah Terima Anugerah Pendidik Inspirasi

13 Sep 2024 • 12:46 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Marklin Muilin, penerima Inspire & Educate Award atas projek ‘Your Path Forward’

Guru KV Keningau Sabah Terima Anugerah Pendidik Inspirasi. Marklin Muilin, seorang guru bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, telah dipilih sebagai salah seorang penerima Inspire & Educate Award yang dianugerahkan oleh Udaan Youth Club, sebuah organisasi pendidikan Asia, atas inisiatif pendidikan dan kaedah pengajarannya. Senarai 30 penerima anugerah tersebut telah diumumkan di laman web penganjur pada 11 September 2024.

Melihat keperluan untuk mempersiapkan pelajarnya ke alam universiti, Marklin Muilin melancarkan projek yang dipanggil Your Path Forward di mana beliau, bersama rakan sekerjanya, membimbing pelajar mereka untuk memperolehi kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi mereka untuk neneruskan pengajian di universiti.

image is not available
Guru KV Keningau Sabah Terima Anugerah Pendidik Inspirasi

Melalui projek ini, beliau melaksanakan kelas bimbingan Malaysian University English Test (MUET) secara percuma untuk pelajar di kolej itu memandangkan subjek ini tidak ditawarkan dalam kurikulum kolej vokasional.

Kelas tersebut dijalankan secara fizikal untuk mereka yang mampu hadir ke kolej pada hujung minggu serta melalui Google Meet bagi mereka yang berada jauh dari kolej tersebut terutamanya mereka yang sudah menamatkan pengajian dan telah pun bekerja.

Projek ini juga melibatkan sesi sembang santai bersama alumni di mana graduan yang telah berjaya melanjutkan pelajaran atau mendapat kerjaya idaman dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka dengan pelajar semasa. Hasil daripada projek ini, bilangan pelajar di kolej yang mendaftar untuk MUET meningkat dengan ketara untuk setiap sesi peperiksaan.

Seterusnya, bilangan pelajar dan alumni mereka yang memohon ke universiti tempatan turut meningkat dan kesemua mereka berjaya mendapat tawaran kemasukan. Marklin meluahkan rasa syukur atas anugerah tersebut dan menjelaskan bahawa pengiktirafan ini adalah satu penghormatan baginya serta pembakar semangat agar bekerja lebih keras lagi untuk memastikan para pelajar mereka mempunyai prospek masa hadapan yang cerah.

Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, turut mengucapkan tahniah kepada Encik Marklin atas usahanya yang mulia dalam membantu pelajar-pelajar di kolej itu terutamanya dengan kelas yang dijalankannya di luar jadual formal sekolah untuk mempersiapkan pelajar agar dapat menduduki MUET dengan baik.

Baca juga artikel yang berkaitan: