
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) merupakan peperiksaan utama di Malaysia yang akan digunakan bagi urusan penting seperti memohon pekerjaan atau menyambung pengajian.
Kebiasaannya, individu akan mengambil semula peperiksaan tersebut jika mahu menambah baik keputusan sedia ada.
Namun, berbeza dengan seorang guru Matematik ini, Zulkifli Md Pungut yang mengambil peperiksaan SPM lebih dari 25 kali hanya kerana mahu merasai sendiri kesusahan yang dialami oleh pelajarnya.
Guru Ambil SPM Buat Kali Ke-26, Mahu Selami Kesusahan Pelajar & Tambah Baik Kaedah Pengajaran
Jelas Zulkifli yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam Johor, cara sebegitu bukan hanya sekadar dapat menambah baik pendekatan pengajaran, malah ia boleh membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan tenang.
Kongsi Zulkifli yang akan mengambil peperiksaan berkenaan buat kali ke-26 pada tahun ini, peperiksaan bukan hanya sekadar tempat untuk menguji pencapaian akademik.
Sebaliknya, ia peluang buat dirinya untuk menyelami dan merasai sendiri pengalaman calon sekaligus menambah baik kaedah pengajaran dengan memastikan ia kekal relevan dan memenuhi kehendak pendidikan semasa.
Mahu Nilai Sendiri Tahap Kesukaran Peperiksaan
Tambah Zulkifli, dia mula mengambil peperiksaan itu sejak tahun 2011 sebanyak dua kali setahun.
Jelasnya yang berusia 58 tahun, dia mahu menilai sendiri tahap kesukaran kertas soalan berkenaan serta perubahan format peperiksaan dan memahami cabaran dari perspektif pelajar itu sendiri.
“Duduk di dalam dewan peperiksaan membuka mata saya tentang tekanan masa, keletihan mental dan rasa cemas yang dialami calon.
“Pengalaman ini mengubah pendekatan pengajaran saya. Saya tidak lagi hanya mengajar tajuk dalam modul, tetapi turut memberikan tumpuan kepada teknik pengurusan masa, strategi menjawab di bawah tekanan dan pengurusan emosi,” katanya.
Cikgu Zulkifli Peruntukkan 2 Hingga 3 Jam Sehari Untuk Ulang Kaji & Jawab Set Soalan Seperti Pelajar Lain
Kongsi Zulkifli lagi, dia memperuntukkan masa sekitar dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji malah, dia turut menjawab set soalan peperiksaan SPM seperti pelajar lain.
Tambah Zulkifli yang merupakan lulusan dari Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran Awam itu, dia turut menggunakan modul rasmi dari Kementerian Pendidikan (KPM), soalan percubaan serta turut mendapat pandangan dari guru Matemaik yang lain sebagai rakan semakan.
Sasar Kekalkan Keputusan A+ Dalam Subjek Matematik, Soalan SPM Tak Lagi Tumpu Kepada Pengiraan Rutin & Hafalan
Jelas Zulkifli lagi, sepanjang menduduki peperiksaan tersebut, fokus utamanya adalah subjek Matematik dan Bahasa Inggeris dengan merekodkan keputusan yang konsisten gred A dan A+.
Bagi tahun ini, Zulkifli mensasar untuk mengekalkan gred A+ dalam subjek Matematik sebagai penanda aras selain mahu pencapaian itu menjadi sumber inspirasi pelajarnya.
Kongsinya lagi, antara perubahan yang paling ketara dalam peperiksaan SPM pada ketika ini adalah peningkatan penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan soalan tidak lagi tertumpu kepada pengiraan rutin mahupun hafalan.
Calon SPM Perlu Analisis Maklumat & Faham Konsep
Tambahnya, calon SPM pada masa kini perlu menganalisis maklumat serta memahami konsep sebelum mengaplikasikannya dalam realiti sebenar.
Ia termasuk dalam pengurusan kewangan, analisis data dan statistik harian.
“Matematik bukan sekadar subjek mengira, tetapi satu bentuk latihan minda. Jangan melihat soalan yang panjang dan terus berasa gerun, sebaliknya pecahkan masalah kepada langkah-langkah kecil.
“Kuncinya ialah latihan berulang secara konsisten, membina kefahaman konsep asas dan jangan ragu-ragu untuk bertanya kepada guru,” katanya.
Jelas Zulkifli lagi, pengalaman menjadi calon SPM berulang kali membolehkan dia untuk memahami tekanan dengan lebih dekat sebagai pelajar.
Ia sekaligus membantunya untuk menjadi pendidik yang lebih peka terhadap keperluan mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Sakit Bukan Penghalang, Pelajar Hidap Kanser Tulang Raih Keputusan Cemerlang SPM
Baca Artikel Berkaitan: “Dapat 11A Tak Naik Pentas” – Lelaki Dakwa Adik Cemerlang SPM Tak Dirai Demi Jaga Hati Pelajar Kurang Perform




