Guru: Memanusiakan jutaan manusia

12 May 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guru: Memanusiakan jutaan manusia
Guru merupakan insan yang memanusiakan jutaan manusia dengan ilmu dan kasih sayang. Gambar hiasan

TANGGAL 16 Mei setiap tahun bukan sekadar sambutan di atas kalendar, sebaliknya simbol penghormatan buat insan yang tidak pernah mengenal erti lelah mendidik anak bangsa.

Sambutan Hari Guru hadir sebagai ruang untuk seluruh masyarakat menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik yang menjadi nadi pembentukan generasi masa depan negara.

Di sebalik kejayaan seorang doktor, jurutera, pemimpin, usahawan mahupun pekerja biasa, pasti ada guru yang pernah mencurahkan ilmu, membimbing dan meniupkan keyakinan dalam diri mereka.

Guru bukan hanya menyampaikan silibus di dalam bilik darjah, tetapi turut mendidik nilai kemanusiaan, disiplin, adab dan jati diri. Mereka memikul amanah besar membentuk manusia agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Hakikatnya, tugas guru pada hari ini jauh lebih mencabar berbanding dahulu. Dunia pendidikan kini semakin kompleks dengan perkembangan teknologi, perubahan sosial, tekanan emosi pelajar serta tuntutan ibu bapa dan masyarakat semakin tinggi.

Guru bukan sahaja perlu memastikan prestasi akademik berada pada tahap terbaik, malah turut berdepan cabaran mendidik generasi yang membesar dalam era digital dan media sosial tanpa batas.

Dalam keadaan itu, para guru tetap cekal meneruskan perjuangan. Mereka sanggup mengorbankan masa, tenaga dan perasaan demi memastikan setiap anak didik mendapat perhatian serta peluang untuk berjaya.

Pengorbanan itu mungkin tidak mampu dibalas dengan wang ringgit atau anugerah semata-mata. Namun, jasa mereka akan terus dikenang sepanjang hayat.

Guru merupakan insan yang memanusiakan jutaan manusia dengan ilmu dan kasih sayang. Mereka membina tamadun, mencorakkan masa depan dan menjadi cahaya dalam kehidupan ramai insan.

Seorang guru mungkin tidak mampu mengubah seluruh dunia, tetapi merekalah insan yang mampu mengubah kehidupan seseorang sehingga akhirnya mampu mengubah dunia.

Terima kasih cikgu, atas setiap ilmu, nasihat, kesabaran dan kasih sayang yang dicurahkan. Jasa kalian akan terus hidup dalam ingatan dan doa anak-anak bangsa, sampai bila-bila.

View Original Article