
Guru Mengaku Tidak Salah Tikam Anak
PASIR MAS, 15 Mei (Bernama) — Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menikam anak lelakinya menggunakan pisau pemotong sayur hingga cedera parah, awal bulan ini.
Tertuduh, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Tertuduh didakwa dengan niat membunuh anak lelakinya berusia 11 tahun dengan menikam mangsa sebanyak dua kali menggunakan sebilah pisau hingga menyebabkan kecederaan parah di kediaman mereka pada 8.55 pagi, 2 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan tidak menawarkan sebarang jaminan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik serta dapatan pemerhatian psikiatri terhadap tertuduh daripada Hospital Bahagia, Perak.
BACA: Nahas FRU: Sultan Selangor Titah Kerajaan Beri Perhatian Serius Kemalangan Babit Kenderaan Berat
Sumber: BERNAMA
The post Guru Mengaku Tidak Salah Tikam Anak appeared first on Siakap Keli.



