
JAKARTA – Seorang guru di Sekolah Dasar Negeri (SDN) Tanjung Pagar 3, kota Banjarmasin meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan sakit dada, lapor laman berita Arrahmah semalam.
Keadaan kesihatan guru dikenali sebagai Lisna itu merosot, dipercayai disebabkan jerebu tebal daripada kebakaran hutan yang menyelimuti wilayah Kalimantan Selatan.
Lisna menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu minggu lalu.
Sebelum meninggal dunia, dia dilaporkan menempuh perjalanan sekitar 30 minit menuju ke sekolah dengan melewati jerebu tebal untuk menjalankan tugas sebagai pendidik.
Lisna diketahui menghidap penyakit asma akut yang membuatnya rentan terhadap asap.
Menurut ibunya, Marhamah, keadaan jerebu di sepanjang perjalanan menuju ke sekolah anaknya sangat tebal.
Marhamah berkata, anaknya kerap mengalami serangan asma, terutama pada pagi hari sebelum pergi ke sekolah.
Dalam keadaan tersebut, Lisna biasanya meminta izin untuk tidak pergi ke sekolah kepada pengetua.
Menurut Marhamah, Lisna kerap menggunakan alat bantu pernapasan nebulizer setiap kali selesai mengajar bagi membantu meredakan gangguan pernafasan yang dialaminya.
Asap kebakaran hutan mengganggu kualiti udara dan berisiko menjejaskan kesihatan penghidap asma.
Meskipun demikian, punca sebenar kematian Lisna dan kaitan keadaan perubatannya dengan krisis jerebu belum dapat dipastikan dan hanya berdasarkan keterangan keluarga. – AGENSI
The post Guru meninggal dunia semasa jerebu tebal appeared first on Kosmo Online.


