Guru ‘selebriti’ hebat dalam ICT

LocalFamily & Parenting
10 Nov 2026 • 8:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Guru ‘selebriti’ hebat dalam ICT

BAGI sesetengah murid, menulis karangan mungkin sekadar menyusun ayat demi ayat sehingga cukup jumlah patah perkataan. 

Namun sebenarnya penulisan yang baik bermula jauh sebelum sebatang pena menyentuh kertas.

Kongsi Mohamad Jalil Mohamad Yunus, 45, atau lebih mesra disapa Cikgu Jay, ia bermula dengan cara seseorang murid membaca persekitaran.

Beliau berkata, seorang murid boleh mendapatkan idea daripada apa yang dilihatnya di sekeliling kerana semua itu boleh menjadi bahan untuk berfikir. 

Baik ketika berjalan ke sekolah, suasana di rumah, perubahan cuaca, keadaan masyarakat, perkembangan teknologi atau apa sahaja yang berlaku di persekitaran. 

Guru cemerlang ini bahkan menjelaskan penulisan bukan sekadar aktiviti memindahkan apa yang dibaca ke atas kertas. 

Penulisan juga baginya adalah merupakan proses memerhati, memahami dan mentafsir dunia kerana selagi mata melihat dan minda berfikir, selagi itulah sebenarnya cerita tidak pernah kehabisan halaman.

“Kalau murid kurang membaca, tidak semestinya mereka tidak boleh menghasilkan idea. Idea bukan datang daripada membaca buku semata-mata. Kita boleh membaca persekitaran kerana mata tidak pernah berhenti membaca, manakala minda tidak pernah berhenti berfikir,” katanya ketika ditemuramah Utusan Malaysia, baru-baru ini. 

Pegangan itu menjadi antara asas kepada usaha guru Bahasa Melayu yang berpengalaman selama lebih dua dekad ini, dalam membantu murid menguasai kemahiran penulisan menerusi inovasi pembelajaran yang diperkenalkannya sebagai Teori Orang Lidi.

Bukan sekadar satu teknik mengarang, katanya, teori itu lahir daripada keinginan untuk menjadikan proses menghasilkan karangan lebih mudah, khususnya bagi murid yang sering berdepan kebuntuan apabila diminta mencari isi dan mengembangkan idea.

Bagi bapa tiga anak ini, kreativiti murid tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan sebanyak mana mereka membaca buku. Sebaliknya, persekitaran yang dilalui setiap hari juga merupakan ‘buku’ yang sentiasa terbuka.

“Kalau murid tidak kreatif pun, tidak mengapa. Saya sudah sediakan rangka yang boleh membantu mereka mengarang. Paling penting, murid faham bagaimana hendak melihat persekitaran dan menggunakannya untuk membina idea,” katanya.

TEROKA TEKNOLOGI PENDIDIKAN 

Sebahagian besar perjalanan karier pemilik saluran Youtube Cikgu Jay ini bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah.

Image from: Guru ‘selebriti’ hebat dalam ICTSelama kira-kira 17 tahun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini aktif memberikan seminar dan berkongsi ilmu berkaitan pendidikan, selain menghasilkan pelbagai penulisan dan buku.

Pengalaman tersebut sedikit demi sedikit membentuk pendekatan beliau dalam melihat pendidikan bahawa ilmu tidak seharusnya terhenti apabila guru meninggalkan kelas.

Malah, katanya, guru juga perlu berani keluar daripada ruang konvensional untuk mencari pendekatan baharu yang dekat dengan keperluan murid.

Langkah itu semakin terserlah apabila beliau mula meneroka dunia teknologi pendidikan menerusi penggunaan platform Frog VLE (Virtual Learning Environment) atau Persekitaran Pembelajaran Maya pada 2013, sebelum penggunaan Google Classroom menjadi kebiasaan seperti hari ini.

Antara ciri utama Frog VLE adalah penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran, kuiz interaktif, kandungan digital yang boleh disesuaikan serta kemudahan pemarkahan kerja rumah secara automatik. 

Selain itu, platform itu turut menyediakan fungsi komunikasi dan pentadbiran seperti pengumuman berpusat, pengurusan tanpa kertas, pembinaan laman web sekolah serta pelaporan kemajuan murid. 

Kemudahan itu membolehkan guru menyampaikan bahan pembelajaran dengan lebih sistematik, manakala murid dapat mengakses sumber pendidikan dengan lebih mudah pada bila-bila masa dan dari mana-mana sahaja yang mempunyai sambungan internet. 

Ketika itu, penglibatan beliau dalam dunia teknologi pendidikan membawanya memenangi One Best Talented Teacher Award, dengan pencapaian tempat kedua pada peringkat kebangsaan.

Beliau sekali lagi menerima pengiktirafan termasuk Most Influential Advocate sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang pada 2019.

Pengalaman bersama Frog VLE juga membuka satu lagi ruang buatnya apabila beliau melibatkan 31 murid sebagai sebahagian daripada skuad Frog VLE seluruh Malaysia.

Mereka bukan sekadar menjadi peserta, malah berperanan sebagai fasilitator dalam membantu guru-guru lain.

Sejak itu, dunia Cikgu Jay mula berkembang daripada bahasa Melayu semata-mata kepada pendidikan digital dan perkongsian ilmu dalam skala yang lebih luas.

COVID-19 BUKAN HALANGAN BELAJAR

Image from: Guru ‘selebriti’ hebat dalam ICTJika ramai melihat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2019 sebagai zaman yang penuh keterbatasan, penceramah Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini pula melihatnya sebagai satu lagi ruang untuk meneruskan perkongsian ilmu.

Ketika sebahagian masyarakat menyesuaikan diri dengan rutin baharu di rumah, beliau memilih untuk mengisi ruang petang dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian, khususnya untuk warga pendidik dan murid di Sarawak, ketika itu. 

Setiap petang, katanya, bermula kira-kira 5.30 hingga 6.30 petang, beliau mengendalikan sesi perkongsian pendidikan.

Bahan yang dikongsikan bukan sekadar untuk ditonton dan disimpan. Sebaliknya, guru-guru boleh mengambil bahan tersebut dan menggunakannya dalam sesi PdP mereka pada keesokan hari melalui Google Classroom.

“Saya antara insan yang tidak begitu terkesan sepanjang zaman PKP kerana ketika itu saya terus mengajar secara dalam talian.

“Pada waktu petang saya akan mengajar atau berkongsi sesuatu topik. Kemudian pada keesokan paginya, guru-guru menggunakan bahan yang saya sediakan itu dalam Google Classroom mereka untuk sesi PdP,” katanya. 

Daripada satu sesi kepada satu sesi, ruang maya itu menjadi tempat bertemunya guru, ilmu dan keperluan murid, ketika sekolah fizikal tidak dapat beroperasi seperti biasa.

 

PENGALAMAN MENGAJAR:  

  • 2005-2010 

Lima tahun di SMK Bakong, Miri, Sarawak

  • 2011-2018

Lapan tahun di SMK Jalan Reko, Kajang 

  • 2019-Jun 2020 

Setahun setengah di SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi  

  • Jun 2020 – April 2024 

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Selangor. 

  • April 2024 – Julai 2026 

SMK Cheras Jaya 

  • Julai 2026 – kini 

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Jalan Bukit, Kajang 

ANUGERAH & PENULISAN:  

  • Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 & 2016 
  • Penerima Anugerah Amalan Terbaik FROG VLE Peringkat Negeri Selangor 2017 (Tempat kedua)
  • Ikon Guru Daerah Hulu Langat 2019 
  • Johan Guru Inovatif Sekolah Menengah 2020
  • Penulis Buku Rujukan BM SPM 
  • Penulis Kit Pembelajaran BM & SPM 

The post Guru ‘selebriti’ hebat dalam ICT appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved