
RAMAI menganggap gusi berdarah ketika memberus gigi sebagai perkara biasa, sedangkan keadaan itu sebenarnya boleh menjadi petanda awal masalah kesihatan mulut yang lebih serius jika dibiarkan berpanjangan.
Bersempena Sambutan Hari Kesihatan Gusi Sedunia 2026, jenama penjagaan mulut nombor satu Jepun, SYSTEMA tampil menggalakkan rakyat Malaysia supaya lebih peka terhadap kesihatan gusi menerusi kempen Expert Care, Every Day.

Kempen ini mengetengahkan tanda-tanda awal masalah gusi yang sering berlaku secara senyap serta kepentingan penjagaan harian berasaskan kepakaran.
Menurut Pengarah Urusan Southern Lion Sdn Bhd, Tomotaka Oka, ramai masyarakat masih memberi tumpuan kepada kebersihan gigi semata-mata tanpa menyedari bahawa kesihatan gusi memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan mulut kekal baik untuk jangka panjang.

Katanya, masalah gusi selalunya berlaku secara senyap dan sering dipandang ringan kerana ramai menganggap gusi berdarah hanya berpunca daripada memberus gigi terlalu kuat.
“Gusi berdarah sebenarnya merupakan tanda awal keradangan akibat bakteria dan bukannya perkara normal. Kesedaran terhadap tanda awal ini penting supaya langkah pencegahan dapat dilakukan lebih awal,” katanya.

Dalam masa sama, SYSTEMA turut menggalakkan masyarakat supaya mengubah persepsi terhadap penjagaan mulut dengan memberi perhatian kepada kesihatan gusi sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Pandangan itu turut disokong doktor pergigian dari AifDental Clinic, Dr Arif Aizudin yang menegaskan bahawa gusi sihat menjadi asas kepada senyuman dan kesihatan mulut yang baik.
“Ramai tidak sedar bahawa gusi berdarah boleh menjadi petanda kepada masalah lain. Sebab itu penting untuk memilih penjagaan yang betul dan menggunakan teknik memberus gigi yang sesuai,” ujarnya.

Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, SYSTEMA akan mengadakan siri jelajah dan pemeriksaan kesihatan gusi percuma bersama doktor gigi dengan kerjasama Malaysian Society of Periodontology di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur sepanjang Mei ini.
Antara lokasi terlibat ialah Mid Valley Megamall dari 4 hingga 10 Mei, selain The Exchange TRX bermula 20 hingga 24 Mei 2026.
Selain aktiviti di lokasi, kempen tersebut turut diperluaskan menerusi siri video digital yang menampilkan perkongsian doktor gigi bagi membantu masyarakat memahami masalah gusi yang sering berlaku tanpa disedari.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan penjagaan gusi menerusi portal khas kempen di gumhealthcheck.com.
