'Jangan salah guna kebebasan media mainkan isu agama, kaum'

30 May 2019 • 10:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GEORGETOWN - Semua pihak tidak seharusnya menyalahgunakan dasar kebebasan media yang diamalkan Pakatan Harapan untuk memainkan isu kaum atau agama yang boleh menimbulkan rasa kebencian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Katanya, pihak pembangkang khususnya harus menggunakan kebebasan media yang diberikan ini untuk mewujudkan persaingan yang sihat yang boleh membawa kerajaan membentuk dasar yang lebih baik untuk dinikmati oleh rakyat.

“Kebebasan mestilah kebebasan dengan tanggungjawab. Lawan saya dalam soal dasar... bukannya mengenai kaum atau agama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Iftar Jalanan Pakatan Harapan yang diadakan di Jalan Buckingham di sini, malam ini.

Mujahid yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata kebebasan media merupakan salah satu dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sewaktu mengambil alih pemerintahan negara tahun lepas.

“Kita tidak pernah menyekat media kerana kebebasan media merupakan komitmen kita,” katanya.

Sementara itu kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan program Iftar Jalanan yang julung kali diadakan anjuran Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Pengerusi Majlis Pakatan Harapan Pulau Pinang merangkap Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata program ini merupakan program yang amat istimewa kerana dapat disertai oleh masyarakat berbilang kaum dan agama untuk turut merasai pengalaman berbuka puasa bersama masyarakat Muslim.

“Tujuan program ini adalah untuk menghimpunkan seluruh rakyat negeri ini tanpa membataskan penyertaan dari pelbagai bangsa dan agama.

"Sejajar dengan semangat Malaysia Baharu, adalah menjadi harapan kerajaan negeri agar Pulau Pinang terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi, dan toleransi,” kata Chow ketika berucap di majlis itu.

Menurutnya, program itu tidak terbatas kepada kehadiran orang awam sahaja, malah pelancong dari dalam dan luar negara, gelandangan, wakil-wakil rakyat, kakitangan kerajaan negeri, serta para pemimpin rumah ibadat Islam dan bukan Islam turut sama memeriahkan program itu. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved