
KUALA LUMPUR: Global Wakaf Al-Quran (GWAQ) memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) strategik sempena Persidangan Antarabangsa PERKIM 2026 dalam usaha memperluas inisiatif wakaf melangkaui sempadan negara.
Kerjasama pertama membabitkan GWAQ, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tulus Digital dan Islamica.
MoU kedua pula membabitkan Perkim bersama ToyyibPay, i-Wealth X, MobilityOne, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim).
Pengerusi Bersama GWAQ, Profesor Datuk Dr Mazlan Ahmad berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan inisiatif wakaf, inovasi digital dan pembangunan komuniti di peringkat nasional serta antarabangsa.
Katanya, objektif utama kerjasama itu akan membuktikan bahawa ekosistem wakaf boleh dibangunkan secara menyeluruh, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan Malaysia tetapi juga menjadikan Malaysia sebagai pusat wakaf global.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, Malaysia menyasarkan untuk memulakan kerjasama dari peringkat ASEAN, sebelum diperluaskan ke Asia dan seterusnya ke seluruh dunia.
“Matlamatnya adalah supaya sistem wakaf yang dibangunkan di Malaysia dapat digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini.
Beliau berkata, usaha itu akan bermula dengan pembangunan ekosistem wakaf di Malaysia, termasuk cadangan penubuhan kementerian khusus berkaitan wakaf.
“Selain itu, turut dirancang penubuhan Bank Wakaf Digital Nasional bagi menjaga kepentingan dan pembangunan wakaf dalam negara, serta Bank Wakaf Digital Antarabangsa bagi memperluas tanggungjawab Malaysia dalam membangunkan wakaf untuk umat Islam di seluruh dunia.
“Buat masa ini, kerjasama sudah mula dibangunkan dengan negara-negara ASEAN, termasuk Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Timor-Leste. Misi ini akan diperluaskan secara berperingkat ke lebih banyak negara,” ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama dengan PERKIM akan membolehkan al-Quran terjemahan disediakan secara lebih meluas bagi menyokong inisiatif dakwah di Malaysia dan rantau ini.
“Yayasan Restu menerusi Nasyrul Quran, kemudahan percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia, telah menerbitkan al-Quran terjemahan dalam 32 bahasa, termasuk bahasa Iban dan beberapa dialek serantau lain.
“Kerjasama dengan Tulus Digital pula akan menyokong pembangunan penyelesaian digital inovatif yang memperkukuh kemampanan serta pertumbuhan jangka panjang platform Global Wakaf Al-Quran,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, persidangan itu turut menyaksikan pelancaran semula Majalah Islamica pada sesi petang yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Majalah berkenaan sebelum ini berpusat di Jordan sebelum penerbitannya dihentikan pada 2009 yang sebelum ini pernah berada dalam kelompok 10 majalah dunia yang paling banyak dibaca oleh pemimpin politik dan tokoh korporat antarabangsa.
“Kini, Islamika kembali diterbitkan dengan Malaysia sebagai pusat penerbitan baharunya.
“Edisi baharu Islamika akan dilancarkan secara rasmi tahun ini dan diterbitkan dalam dua versi, iaitu fizikal dan dalam talian dengan kandungan merangkumi pelbagai isu termasuk politik antarabangsa, kepimpinan, teknologi dan pembangunan.
“Bagi edisi pertama, sebanyak 1,000 naskhah akan dicetak untuk pasaran Malaysia dan dijual di kedai buku utama, manakala 5,000 naskhah tambahan dijangka dicetak bagi memenuhi permintaan pasaran,” jelasnya. – UTUSAN
The post GWAQ meterai dua MoU strategik perluas misi wakaf global appeared first on Utusan Malaysia.

