GWM Cannon Alpha PHEV 2025 Dilancarkan Di Australia – Malaysia Seterusnya?

LocalCars
12 Feb 2025 • 11:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Australia dan New Zealand bakal menjadi negara pertama yang menerima GWM Cannon Alpha PHEV 2025, sebuah trak pikap hibrid plug-in (PHEV) yang dijadualkan mula dipasarkan pada April tahun ini. Jika reka bentuknya seperti sudah pernah dilihat, itu kerana trak ini sudah dipasarkan di Thailand di bawah nama GWM Poer Sahara, tetapi tanpa sistem PHEV.

Lebih Mahal Daripada BYD Shark

image is not available

Di pasaran Australia, Cannon Alpha PHEV akan ditawarkan dalam dua varian, iaitu Lux dan Ultra, masing-masing berharga AUD 63,990 (~RM286,000) dan AUD 68,990 (~RM308,000). Harga ini membuatkannya lebih mahal berbanding BYD Shark PHEV, yang bermula dari AUD 57,900 (~RM259,000).

Lebih Berkuasa, Teknologi 4WD Canggih

Berbeza dengan BYD Shark yang menggunakan enjin 1.5L turbo dan dua motor elektrik, GWM Cannon Alpha PHEV digerakkan oleh enjin 2.0L turbo yang dipadankan dengan satu motor elektrik, menghasilkan kuasa gabungan 402 hp dan 750 Nm.

Bagi meningkatkan kemampuan off-road, trak ini turut dilengkapi transmisi automatik 9 kelajuan, sistem pacuan empat roda (4WD), serta penguncian pembeza (locking diff) di bahagian depan, belakang dan tengah. GWM juga mendedahkan bahawa model ini mampu bergerak dalam mod elektrik sepenuhnya walaupun dalam tetapan 4WD julat tinggi (high-range), unik dalam kelasnya.

Jarak Elektrik Sejauh 110 KM

image is not availableimage is not available

Dilengkapi bateri 37.1 kWj, Cannon Alpha PHEV menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 110 km, lebih jauh berbanding BYD Shark. Dalam mod hibrid pula, jarak keseluruhan boleh mencecah 880 km.

image is not available

Selain itu, trak ini menyokong pengecasan pantas DC 50 kW, membolehkan baterinya dicas dari 30% ke 80% dalam masa sepantas 26 minit.

Kapasiti Tundaan Lebih Tinggi Daripada BYD Shark

Salah satu kelebihan utama GWM Cannon Alpha PHEV ialah kapasiti tundaan mencecah 3,500 kg, jauh mengatasi BYD Shark dengan kemampuan tundaan hanya 2,500 kg. Ia juga direka untuk menempuh laluan mencabar dengan keupayaan meredah air sedalam 800 mm, hasil daripada jarak kelegaan tanah jentera ini yang setinggi 224 mm.

Dengan berat bersih 2,810 kg dan berat kasar 3,495 kg, trak ini mencatat penggunaan bahan api sekitar 1.7L/100 km berdasarkan ujian makmal.

Adakah Malaysia Bersedia Untuk Pikap PHEV?

image is not available

Untuk pasaran Malaysia, jualan trak pikap diesel mengalami penurunan ketara susulan rasionalisasi harga bahan api, sekali gus membuka peluang kepada model hibrid dan PHEV.

Selain GWM Cannon Alpha PHEV dan BYD Shark, Ford turut berada dalam ‘perlumbaan’ ini dengan model Ranger versi elektrifikasi. Sekiranya GWM Malaysia bergerak lebih pantas, mereka berpotensi menjadi peneraju segmen ini sebelum BYD Malaysia melancarkan Shark.