GWM Tidak Mahu Guna Teknologi REEV,Dedah Platform Baharu Berasaskan AI

TechnologyCars
20 Jan 2026 • 10:15 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Great Wall Motors (GWM) telah memperkenalkan platform automotif baharunya, GWM One, yang menetapkan hala tuju teknikal untuk kegunaan generasi kenderaan GWM yang akan datang.

Platform itu diperkenalkan di China pada awal bulan ini ketika GWM mempercepatkan usaha elektrifikasi globalnya.

Pada majlis pelancaran itu, Presiden GWM, Mu Feng, mengesahkan bahawa syarikat tersebut tidak akan membangunkan kenderaan elektrik jarak lanjutan (REEV).

image is not available

Beliau menjelaskan bahawa teknologi ini mengalami kehilangan kecekapan semula jadi akibat rantaian penukaran tenaga yang panjang, terutamanya pada kelajuan sederhana dan tinggi, serta tidak menawarkan kelebihan teknikal sebenar berbanding penyelesaian pacuan terus.

Ujian dalaman menunjukkan sistem REEV boleh menjadi sekurang-kurangnya 13% kurang cekap, sekali gus mengukuhkan keputusan GWM untuk menolak sepenuhnya teknologi tersebut.

image is not available

Secara rasmi dikenali sebagai Guiyuan dalam bahasa Cina, platform GWM One digambarkan sebagai seni bina rangkaian kuasa berasaskan AI yang dibangunkan dari awal. Ia menyokong rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV), hibrid, hibrid plug-in (PHEV), enjin pembakaran dalaman serta sel bahan api dalam satu rangka kerja tunggal, membolehkan pelbagai jenis kenderaan dibangunkan tanpa memerlukan platform berasingan.

image is not available

Seni bina ini berasaskan konsep modular “jenis boleh alih”, yang menggabungkan 49 modul perkakasan teras dengan ratusan komponen yang dikongsi bersama.

Pendekatan ini membolehkan pembangunan fleksibel SUV, sedan, MPV dan trak pikap, sambil meningkatkan kecekapan pembuatan serta mengurangkan kos pemilikan keseluruhan.

Bagi model EV, GWM One menyokong seni bina sehingga 900V, kuasa pengecasan puncak melebihi 600 kW serta keupayaan output kuasa luaran dua hala. Aplikasi hibrid pula menggunakan sistem Hi4 yang dinaik taraf dengan dwi motor, operasi berbilang mod dan transmisi hibrid berbilang kelajuan khusus yang dipadankan dengan enjin turbo 2.0 liter.

image is not available

Perisian turut memainkan peranan utama, dengan Coffee EEA 4.0, ejen pintar ASL dan model besar VLA dwi yang menyelaraskan sistem rangkaian kuasa, casis dan bantuan pemandu secara masa nyata bagi mengoptimumkan prestasi serta kecekapan.

SUV pertama yang dibangunkan berasaskan GWM One telah dipratonton di sini di bawah jenama WEY.

Model ni dikatakan mempunyai panjang sekitar 5.3 meter dengan susun atur tempat duduk 2+2+2, sekali gus meletakkannya dalam segmen SUV premium bersaiz besar.

image is not available

Laporan awal menunjukkan SUV ini menggunakan sistem PHEV 2.0 liter dengan seni bina 800V. Angka prestasi mencadangkan pecutan 0–100 km/j dalam 4.4 saat dengan bateri penuh dan 4.7 saat pada tahap cas rendah, manakala jarak pemanduan elektrik sepenuhnya melebihi 400 km.

Jumlah jarak pemanduan mengikut kitaran WLTC didakwa mencecah sehingga 1,300 km, dengan penggunaan bahan api hibrid sekitar 6.3 liter bagi setiap 100 km. Pengecasan pantas pula dikatakan mampu menambah kira-kira 200 km jarak elektrik hanya dalam tempoh lima minit.

GWM menyatakan bahawa platform GWM One akan menjadi asas kepada lebih 50 model masa depan di peringkat global.

View Original Article