Bersempena dengan pembukaan ibu pejabat mereka di Bandar Utama, GX Bank hari ini juga telah memperkenalkan inisiatif terbaru syarikat tersebut yang dinamakan GX Untuk Semua.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi KL20 kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai salah satu daripada 20 hab permulaan global yang terkemuka. Dengan Inisiatif GX Untuk Semua ini, GX Bank akan melaburkan sebanyak RM1.5 bilion dalam jangkamasa lima tahun akan datang dengan tujuan menerajui transformasi industri perbankan dan kewangan digital melalui pembangunan teknologi dan juga bakat baru.
Majlis perasmian ibu pejabat GX Bank di Malaysia ini dihadiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, bersama-sama dengan Anthony Tan, CEO dan pengasas Grab dan Datuk Zaiton Mohd Hassan, pengerusi GX Bank.

Bercakap mengenai pembangunan bakat baru, Gigih, GXBank menyediakan biasiswa kepada 1,200 penerima di Kelantan dan Johor melalui inisiatif inklusif kewangan Impian Gigih. GXBank sedang bekerjasama dengan universiti tempatan dan telah menyediakan Biasiswa Impian Gigih untuk memupuk bakat tempatan dan akan berkongsi lebih banyak usaha bersepadu di bawah setiap hab dalam beberapa bulan akan datang.
Pengerusi GXBank, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata “Dengan sokongan tenaga kerja berbakat yang terdiri daripada lebih 95% rakyat Malaysia, GXBank maju ke hadapan dalam menangani keperluan kewangan sebenar setiap rakyat Malaysia.”
Pengumuman ini juga dibuat selepas GX Bank mengesahkan bahawa mereka mempunyai seramai 750 ribu pengguna pada penghujung bulan Julai 2024 dan membuat sebanyak 13 juta transaksi menggunakan kad GX Bank dan imbasan QR.


