GXBank dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tawaran GX FlexiCredit telah mula ditawarkan kepada semua pengguna berikutan kejayaan fasa ujian rintis sebelum ini. Pertama kali diperkenalkan pada Ogos 2024, FlexiCredit pada mulanya disediakan kepada pengguna terpilih sebagai sebahagian daripada pelancaran secara berperingkat.

Ia direka bagi menyediakan akses segera kepada dana melalui proses permohonan yang mengambil masa lebih kurang 5 minit. Permohonan yang diluluskan boleh menerima had kredit sehingga RM150,000 dengan proses pengeluaran yang dilakukan dalam beberapa saat. Ia juga tidak memerlukan pengguna untuk memohon jumlah pinjaman tetap. Sebaliknya pengeluaran sesuatu dana bergantung sepenuhnya kepada permintaan menjadikan mereka boleh meminjam apa yang diperlukan sahaja.

Tempoh pinjaman adalah fleksibel yang boleh mencapai 60 bulan dengan kadar faedah rata bermula dari 3.88% setahun (EIR 6.62% setahun) tertakluk pada kelayakan. Caj lewat sebanyak 1% turut dikenakan ke atas jumlah ansuran bulanan tertunggak jika pengguna gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan. Individu yang layak memohon adalah warganegara Malaysia yang berumur diantara 21 dan 64 tahun. Mereka perlu mempunyai pendapatan tahunan minimum RM18,000.

Pada masa yang sama pemohon bergaji perlu mengemukakan Penyata KWSP 2 tahun dengan caruman berturut-turut selama 6 bulan. Manakala mereka yang bekerja sendiri pula perlu menyediakan penyata bank perniagaan selama 6 bulan yang boleh dimuat-turun daripada portal rasmi bank masing-masing. Aplikasi GXBank tersedia di Play Store dan App Store untuk pendaftaran. Perlu ditegaskan bahawa ianya tidak patuh syariah dan merupakan bank konvensional.

