GXBank adalah antara bank digital terawal di Malaysia. Sejak diumumkan sehingga bulan Ogos, 750,000 pengguna berdaftar telah dicatatkan. Ia menyokong DuitNow dan juga pulangan tunai 1% dengan kad debit fizikal mereka. Terbaru, GXBank mengacah pelan pinjaman wang tersendiri pula iaitu FlexiCredit.

FlexiCredit menjanjikan proses pinjaman wang yang mudah lulus berbanding dengan bank-bank tradisional di Malaysia. Menurut GXBank, semua permohonan juga adalah dari dalam aplikasi dan tiada sebarang borang yang perlu diisi. Kemudian selepas permohonan lulus, wang pinjaman akan terus dimasukkan ke akaun GXBank pengguna secara serta merta.

Untuk bayaran balik, GXBank masih tidak menjelaskan bayaran faedah yang akan dikenakan selain hanya memberitahu pengguna hanya perlu bayar faedah pada amaun yang digunakan sahaja. Bayaran semula pinjaman turut tiada caj tambahan jika diselesaikan kesemuanya lebih awal dari tarikh janji.
Buat masa kaedah permohonan hanyalah melalui jemputan melalui aplikasi GXBank. Mereka yang dijemput akan dimasukkan dalam senarai menunggu tanpa sebarang jaminan FlexiCredit boleh digunakan. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai FlexiCredit dari GXBank. Untuk makluman, GXBank adalah bank konvensional dan tidak patuh syariah.
