34 rumah rosak dilanda ribut kuat

13 Oct 2019 • 1:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SEREMBAN - Hujan lebat berserta ribut di Kampung Linsum, Rantau di sini, semalam mengakibatkan 34 buah rumah rosak.

Kejadian itu turut menyebabkan empat keluarga di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Kampung Linsum terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak jam 1 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Mejar (PA) Mohd Rohaidi Halim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 3 petang semalam sebelum ke lokasi melakukan pemantauan.

“Terdapat empat buah rumah di kuarters JKR dan 30 lagi di kampung sama yang dilanda ribut mengalami kerosakan atap dan tercabut.

“Seramai 13 mangsa melibatkan empat keluarga diarahkan oleh Pegawai Daerah untuk berpindah di PPS yang dibuka awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

image is not available
Sebuah rumah penduduk rosak dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut semalam.

Selain itu katanya, bumbung dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau turut rosak diterbangkan ribut.

Beliau berkata, APM masih melakukan tinjauan di kawasan terjejas dan membuat kerja pembersihan pokok tumbang manakala kerja pembaikan atap rumah akan diuruskan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).


View Original Article