Gesaan Kasthuri agar tahanan SOSMA dibebaskan munasabah: Waytha Moorty

27 Oct 2019 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SEREMBAN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorty menyokong kenyataan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto bahawa tindakan polis menahan terlebih dahulu dan menyiasat kemudian tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dikaitkan dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah satu bentuk penindasan.

Menurutnya, gesaan Kasthuri supaya tahanan itu termasuk dua wakil rakyat DAP dibebaskan adalah munasabah.

“Sebagaimana manifesto Pakatan Harapan (PH), jelas menunjukkan bahawa kita telah meminta SOSMA dimansuhkan atau dikaji semula kerana terdapat dalam peruntukan undang-undang itu didapati tidak memenuhi keperluan hak asasi manusia.

“Berdasarkan itu bagi saya permintaan Kasthuri adalah munasabah. Kita akan tengok bagaimana kajian semula Kementerian Dalam Negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Rumah Terbuka Deepavali di Dewan Majlis Perbandaran Seremban(MPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Kasthuri Patto supaya polis mendakwa atau membebaskan tahanan SOSMA yang dikaitkan dengan LTTE kerana tindakan 'tahan dulu, siasat kemudian' adalah pendekatan menindas yang pernah digunakan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sementara itu berkaitan perkembangan penubuhan parti Malaysian Advancement Party (MAP) Julai lalu, beliau berkata, pembentukan parti terbabit di setiap negeri sedang dilakukan termasuk Sabah dan Sarawak.

Waytha Moorthy yang juga pengerusi penaja parti itu berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pemimpin masyarakat yang layak untuk menerajui kepimpinan di setiap negeri dan daerah.

“Kita tidak mahu parti ditubuhkan ini sekadar atas nama parti sahaja, tetapi mahu ia jadi sebagai satu parti yang memberi khidmat kepada masyarakat.

“Berkenaan penglibatan MAP dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) Tanjung Piai, kita masih baru dan belum sedia,” katanya.