Haaland terima tiga jahitan di mulut akibat pintu bas

Football
8 Sep 2025 • 10:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Haaland FOTO: AFP

PENYERANG sensasi Manchester City, Erling Haaland terpaksa menerima tiga jahitan selepas mulutnya berdarah terkena pintu bas skuad kebangsaan Norway.

Kejadian itu berlaku ketika bintang berusia 25 tahun itu bersama pasukan kebangsaan Norway bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Moldova yang akan berlangsung pada Rabu.

Haaland sebelum itu menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 Norway ke atas Finland pada aksi persahabatan, Khamis lalu.

Namun, ketika tiba di hotel pasukan di Oslo, nasib malang menimpa penyerang tersebut.

Difahamkan, ketika Haaland melangkah turun dari bas dan berdiri berhampiran pintu but bagasi, pintu itu tiba-tiba terbuka lalu terkena tepat di mulutnya.

Akibat insiden itu, bibir Haaland mengalami pendarahan dan dia kemudian memuat naik gambar swafoto menunjukkan kecederaan tersebut yang telah dijahit dengan tiga jahitan.

Haaland sempat berseloroh kepada peminatnya di media sosial dengan berkata:

“Baru sahaja terkena pintu bas. Tiga jahitan," katanya.

Apabila seorang penyokong bergurau bertanya sama ada dia dipukul seseorang, Haaland menjawab:

“Hahahaha, hanya jawapan salah sahaja.”

Lebih mencuit hati, seorang lagi penyokong menyebut nama rakan sepasukannya, Martin Odegaard yang juga kapten Arsenal, sebelum Haaland membalas ringkas: “Betul.”

Walaupun cedera, Haaland diyakini akan tetap diturunkan bagi membantu Norway mengekalkan rekod sempurna dalam Kumpulan I selepas mencatat empat kemenangan daripada empat perlawanan setakat ini, mendahului Israel, Itali, Estonia dan Moldova.

Selain Haaland dan Odegaard, skuad Norway turut diperkuatkan pemain Liga Perdana Inggeris lain seperti Oscar Bobb, Sander Berge dan Kristoffer Ajer.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved