Hab baharu penyelidikan hutan hujan tropika Sabah

LocalEnvironment
24 Jun 2025 • 10:13 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah, bakal mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini dengan pelancaran Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom hari ini (Selasa).

Majlis pelancaran tersebut akan berlangsung di Kawasan Konservasi Lembah Danum, Lahad Datu, sekali gus memperkukuh komitmen Sabah terhadap pemulihan hutan dan penyelidikan biodiversiti.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Malaysia terhadap pembangunan lestari dan pemeliharaan alam sekitar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Malaysia memperuntukkan dana RM5.6 juta bagi mengukuhkan inisiatif infrastruktur utama penyelidikan saintifik dan pengurusan ekosistem di Sabah.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, projek ini berpusat di Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom yang terletak dalam Zon Penampan Kawasan Konservasi Lembah Danum.

“Dengan kedudukannya yang strategik serta prasarana yang lengkap, Stesen Penyelidikan Langom berpotensi untuk menjadi hab serantau bagi kajian biodiversiti, amalan pengurusan tanah secara lestari dan inisiatif pendidikan yang penting untuk perlindungan ekosistem hutan hujan tropika di Sabah,” katanya.

Pembinaan Stesen Penyelidikan Langom dimulakan pada November 2021. Pada 2024, pembinaan siap sepenuhnya dan stesen tersebut mula beroperasi.

Kemudahan ini dilengkapi dengan prasarana untuk pasukan penyelidik, ruang untuk bengkel pendidikan alam sekitar, kemudahan latihan lapangan, serta eko-pelancongan, menjadikannya pangkalan penyelidikan yang serba guna dan mampan di salah satu kawasan biodiversiti terkaya di Asia Tenggara.

“Bagi memperkukuh kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat akar umbi, Kumpulan Yayasan Sabah turut melancarkan Program Sekolah Angkat Kelab Pencinta Alam, iaitu satu inisiatif jangka panjang yang bertujuan menanam kefahaman mendalam dan praktikal tentang alam semula jadi dalam kalangan pelajar sekolah,” kata beliau.

Program ini menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman luar bilik darjah, yang bukan sahaja memberikan pengetahuan alam sekitar, malah melibatkan pelajar secara langsung dalam aktiviti pemerhatian, pertanyaan dan interaksi.

“Program ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara teori di bilik darjah dan pengalaman ekologi sebenar, sekali gus membentuk pemikiran lestari sejak usia muda, melahirkan pemimpin pemuliharaan masa hadapan, serta menggalakkan penglibatan bermakna antara sekolah dan komuniti.

“Fasa awal program ini akan memberi tumpuan kepada tiga sekolah menengah di Lahad Datu, iaitu SMK Sepagaya Lahad Datu, SMK St Dominic Lahad Datu, dan SMK Agaseh Lahad Datu.

“Sekolah-sekolah ini dikenal pasti sebagai rakan strategik berdasarkan lokasi, bilangan pelajar, dan potensi jangkauan impak,” jelas Gulamhaidar.

“Perasmian Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom ini menandakan satu langkah besar ke arah Sabah yang lebih hijau dan mampan. Ia melambangkan komitmen berterusan Kumpulan Yayasan Sabah terhadap pemuliharaan biodiversiti, pemulihan ekologi, dan pendidikan alam sekitar yang inklusif.

“Kami membayangkan Langom bukan sekadar sebuah kemudahan penyelidikan malah, sebuah bilik darjah hidup dan platform kolaboratif bagi pelbagai pihak,” tambah beliau.

Beliau menambah, ia bakal meletakkan Langom sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pemuliharaan di samping mengukuhkan lagi tanggungjawab Kumpulan Yayasan Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah memelihara warisan alam semula jadi negeri ini untuk generasi akan datang.