

Kerajaan telah menurunkan had laju daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j di semua jalan Persekutuan di seluruh negara sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan sementara had laju selama enam hari sepanjang Op Bersepadu itu bertujuan meminimumkan risiko kemalangan jalan raya.
"Sepanjang tempoh itu, kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara supaya tidak mengganggu aliran trafik, manakala kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang sebaiknya.

"Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan supaya tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi dituju," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, had laju itu diturunkan sehingga 2 Februari sahaja.
Malah, bagi memastikan kelancaran lebuh raya, kerajaan juga telah turut mengarahkan syarikat Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari ini.


