Had Penggal PM: 'Ia Bermula Dengan Saya’ - Anwar

LocalPolitics
20 Feb 2026 • 5:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri yang dicadangkan sebelum ini akan terpakai ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.

Menegaskan perkara itu, beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) yang dimaksudkan akan dibentangkan di Dewan Rakyat, dan peraturan itu perlu bermula dengan beliau.

“Ia bermula dengan saya, bermakna saya tidak sepatutnya membuat undang-undang untuk orang lain.

“Undang-undang mesti terpakai kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheding di Banting, Selangorhari ini.

Beliau berkata, satu dekad sudah memadai untuk seorang pemimpin berkhidmat kepada negara sebelum memberi laluan kepada kepimpinan baharu.

Menurutnya, cadangan itu telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet sebelum ini, dan beliau telah meminta agar ia dipercepatkan.

“Kami mula-mula mencadangkannya dalam mesyuarat, dan saya mencadangkan agar kami mempercepatkan cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. (Kerana) Saya fikir sesiapa yang ingin berkhidmat kepada negara dengan ikhlas, 10 tahun sudah memadai untuk mereka melakukan yang terbaik.

“Dan selepas itu, beliau sepatutnya bersedia untuk melepaskan jawatan, supaya rakan-rakan lain dapat meneruskan perkhidmatan mereka,” katanya.

Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dilaksanakan serta-merta jika terdapat kata sepakat pada sesi parlimen akan datang dan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Terdahulu, media melaporkan, RUU  mengenai pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal, akan dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin depan.

Ia disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pada pertemuan dengan ketua-ketua editor di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di ibu negara hari ini.

Beliau berkata bacaan kedua kedua-dua RUU terbabit dijadualkan berlangsung pada minggu berikutnya.

Azalina akan membentangkan bacaan kedua RUU itu untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada 2 Mac.

Perdana Menteri pula akan membentangkan bacaan kedua RUU untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal pada 3 Mac.

Turut diadakan Isnin depan ialah taklimat ringkas bersama Ahli Parlimen mengenai kedua-dua RUU terbabit di Dewan Bankuet Parlimen pada jam 1 tengah hari. – Getaran, 20 Februari 2026