Presiden PAS, Hadi Awang didakwa menolak usaha perdamaian dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang digerakkan oleh Ikhwanul Muslimin, dua bulan selepas penubuhan kerajaan perpaduan.
Menurut laporan, usaha itu dibuat melalui wakilnya dari Qatar. Bertujuan memperkuatkan suara pemimpin Islam di peringkat antarabangsa lebih-lebih lagi memandangkan kedua-duanya daripada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Wakilnya dikatakan datang melobi ke Malaysia sebanyak dua kali untuk mempertemukan Anwar dan Hadi bagi rundingan damai namun gagal.
Penganalisis politik berpandangan, ada agenda politik berlindung di sebalik tindakan Presiden PAS Hadi Awang yang didakwa menolak usaha perdamaian dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bimbang hilang ‘senjata’
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, pemimpin PAS itu bimbang hilang ‘senjatanya’ untuk terus menyerang menggunakan agama dan bangsa. Jika beliau menerima pelawaan damai untuk berbaik-baik dengan Anwar.
“Kalau pendamaian itu disambung, habislah senjata PAS kerana itu modal politik mereka.
“Penolakan (perdamaian) Hadi itu amat mengecewakan tetapi ia amat difahami kerana ada agenda-agenda politik di belakangnya,” katanya.
Berdamai demi kepentingan Islam dan Melayu
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Mohd Yusof Kasim pula berpandangan, Hadi sepatutnya berdamai dengan Anwar. Demi kepentingan Islam dan Melayu di Malaysia.
Katanya, serangan ‘yang bukan-bukan’ akan memburukkan lagi hubungan.
“Perpaduan di kalangan umat Islam amat diperlukan demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia dan di peringkat global,” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam temubual dengan Time Magazine berkata pintu untuk PAS keluar daripada blok pembangkang dan bersama-sama dengan kerajaan perpaduan masih terbuka.
Anwar dan Hadi pernah bekerjasama ketika dalam Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015, menyaksikannya berjaya menawan Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Kedah, selain mengekalkan pentadbiran di Kelantan.
Sumber: Free Malaysia Today
The post Hadi Awang tolak damai dengan Anwar kerana bimbang hilang ‘senjata’ – Penganalisis politik appeared first on The Reporter.

