Hadiah berlebihan, hubungan dirahsiakan petanda anak mungkin sasaran 'grooming'

Family & Parenting
15 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hadiah berlebihan, hubungan dirahsiakan petanda anak mungkin sasaran 'grooming'

SHAH ALAM, 15 NOV: Pemberian hadiah berlebihan, komunikasi terlalu kerap dan permintaan merahsiakan hubungan antara petanda anak mungkin menjadi sasaran pengantunan seksual atau grooming.

Ahli psikologi klinikal Pusat Kaunseling Selangor berkata pelaku lazimnya menggunakan pelbagai pendekatan untuk meraih kepercayaan kanak-kanak sebelum mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku mereka.

Menurut Sarah Aleesa Aguinaldo, taktik itu termasuk memberikan makanan atau wang, kerap menghubungi mangsa menerusi telefon dan WhatsApp, selain meminta gambar peribadi.

“Selalunya kita akan tengok si pelaku ini akan cuba bagi hadiah. Hadiah itu boleh berbentuk makanan atau duit.

“Mungkin juga si pelaku itu akan selalu nak telefon, hubungi, WhatsApp dan ada juga di mana satu tahap si pelaku akan cuba meminta gambar mangsa,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Image from: Hadiah berlebihan, hubungan dirahsiakan petanda anak mungkin sasaran 'grooming'
Ahli Psikologi Klinikal Sarah Aleesa Aguinaldo ketika program Bicara Semasa Topik : Amang Seksual: KenaliTanda, Lindungi Anak di Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 30 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun, tegasnya, kepekaan ibu bapa perlu disertai komunikasi terbuka supaya anak berasa selamat berkongsi pengalaman, terutama perkara yang menimbulkan ketakutan atau ketidakselesaan.

Katanya, kanak-kanak khususnya berusia tujuh tahun ke bawah masih belajar memahami reaksi orang dewasa dan mungkin memilih untuk berdiam diri sekiranya bimbang dimarahi atau tidak dipercayai.

Beliau menambah sikap ibu bapa yang sering menolak atau tidak mengendahkan cerita anak juga boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan untuk meluahkan masalah.

“Sekiranya setiap benda yang mereka cerita itu ditolak ataupun ibu bapa buat endah tak endah sahaja, apabila besar mereka akan percaya bahawa kalau saya bercerita, saya takkan rasa selamat.

“Mungkin itu juga yang menyebabkan anak-anak ini pendam. Apabila benda itu dah terlalu tertekan untuk mereka, pada tahap itu sahajalah baru mereka akan bercerita, mungkin bukan dengan ibu bapa, tetapi dengan orang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Sarah menasihatkan ibu bapa supaya mendengar setiap perkongsian anak dengan tenang dan meyakinkan mereka bahawa sebarang pengalaman boleh diceritakan tanpa takut dipersalahkan.

“Kalau boleh kita jangan cakap, kenapa baru sekarang nak bagi tahu, seolah-olah kita menyalahkan kanak-kanak tersebut kerana mereka pun masih cuba belajar dan memahami apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved