Hadiah Hari Guru, GLC jangan potong bajet

LocalBusiness & Finance
18 May 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hadiah Hari Guru, GLC jangan potong bajet
Pihak korporat dan GLC juga diharapkan tidak mengurangkan bajet CSR melibatkan bidang pendidikan. - Foto fail Bernama

KERAJAAN memberi jaminan bahawa sektor pendidikan akan terus menjadi agenda utama negara menerusi kemungkinan peningkatan peruntukan dalam belanjawan akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa keutamaan tersebut penting bagi memperkukuh bidang pendidikan, khususnya dalam aspek digital, kecerdasan buatan (AI) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Komitmen itu sudah tentu memberi kelegaan kepada warga pendidikan. Pembangunan infrastruktur sekolah dan kebajikan guru perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman serta keperluan semasa.

Dalam hal ini, kerajaan turut meluluskan tambahan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan bilik guru dan kuarters guru di seluruh negara bagi memastikan persekitaran pembelajaran serta tempat kediaman warga pendidik berada dalam keadaan lebih selesa dan selamat.

Langkah tersebut ibarat hadiah sempena sambutan Hari Guru. Namun diharap pihak korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak mengurangkan bajet tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan bidang pendidikan.

Program pendidikan yang telah dirancang, sama ada dalam bentuk bantuan persekolahan, tajaan pelajar, program motivasi dan bengkel, pertandingan, pembangunan digital, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mahupun STEM, wajar diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

Hal ini kerana sistem pendidikan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

Banyak sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, masih memerlukan sokongan tambahan bagi memastikan murid tidak tercicir daripada arus pembelajaran moden.

Sumbangan melalui CSR sebenarnya memberi impak besar kepada murid dan guru. Kadangkala, satu program berskala kecil mampu membuka ruang baharu kepada pelajar untuk mengenali bidang yang belum diterokai, membina keyakinan diri serta membentuk hala tuju masa depan yang lebih jelas.

Bajet pendidikan tidak sepatutnya menjadi perkara pertama yang dikurangkan apabila keadaan ekonomi mencabar. Pendidikan bukan bebanan kos, sebaliknya pelaburan paling bernilai demi masa depan negara.

 

View Original Article