
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hael Husaini muncul sebagai bintang paling banyak menerima pencalonan pada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 apabila namanya disenaraikan dalam lima kategori yang dipertandingkan.
Hael bakal bersaing dalam kategori Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Stailo Terhangat serta Selebriti Chemistry Terhangat menerusi gandingan bersama Dayang Nurfaizah.
Pencapaian itu meletakkan Hael sebagai selebriti dengan jumlah pencalonan individu tertinggi bagi edisi AMT tahun ini, sekali gus menjadikan namanya antara yang paling diberi perhatian dalam perebutan trofi pada Oktober nanti.
Turut mencuri tumpuan ialah penyanyi Aisha Retno dan pelakon Syafiq Kyle yang masing-masing mengumpul empat pencalonan.
Aisha disenaraikan dalam kategori Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Viral Terhangat serta Lagu Terhangat menerusi lagu Jodoh Lebaran.
Sementara itu, Syafiq pula tercalon dalam kategori Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Mimi Lana, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO dan Selebriti Viral Terhangat.
Persaingan tiga bintang berkenaan menjadi antara tarikan utama AMT 2026 yang kembali dengan tema ‘Power’, selain menyaksikan tujuh kategori baharu diperkenalkan tahun ini.
Secara keseluruhan, sebanyak 16 kategori dipertandingkan bagi mengiktiraf selebriti dan karya yang mendapat perhatian menerusi populariti, pengaruh serta penerimaan peminat.
Tujuh kategori baharu yang diperkenalkan ialah Lagu Terhangat, Drama Sangat Terhangat, Direktor & Filem Terhangat, Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat.
Sembilan kategori sedia ada pula membabitkan Fresh Rising Star Terhangat Darlie, Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Couple Goals Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Viral Terhangat, Selebriti Stailo Terhangat dan Tonton Original Terhangat.
Senarai calon Top 10 bagi kesemua kategori diumumkan menerusi pelancaran digital ‘Malam Start Menekan!’ yang disiarkan secara langsung di TikTok Melodi Terhangat dan TV3.
Pengumuman itu turut menandakan bermulanya proses undian yang memberikan kuasa kepada peminat untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori.
Undian digital dibuka selama enam minggu bermula 3 September hingga 8 Oktober menerusi platform Tonton.
Setiap akaun berdaftar diberikan lima undian, manakala pelanggan Tonton yang melanggan pelan tiga bulan dan 12 bulan masing-masing menerima 2,500 dan 10,000 undian.
AMT 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan platform penstriman Tonton pada 18 Oktober ini, bermula jam 9 malam.
Mengangkat tema ‘Power’, penganjuran kali ini berteraskan tiga elemen utama iaitu ‘Star Power’, ‘Fan Power’ dan ‘Melodi’s Power’.
‘Star Power’ mengetengahkan keunikan serta kekuatan setiap selebriti, manakala ‘Fan Power’ memberikan peranan besar kepada peminat dalam menentukan keputusan. ‘Melodi’s Power’ pula menjadi platform yang menggerakkan momentum industri hiburan tempatan. -UTUSAN
The post Hael Husaini ungguli pencalonan AMT 2026 appeared first on Utusan Malaysia.
