
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun tampil dengan pendekatan berbeza menerusi album terbaharunya, Salawat The Beloved, apabila menjadikan Uzbekistan sebagai antara lokasi utama penghasilan tujuh muzik video bagi album berkenaan.
Lebih istimewa, projek tersebut mendapat sokongan dan kerjasama Kerajaan Republik Uzbekistan menerusi Uzbekistan Tourism Committee yang membantu Hafiz dan pasukannya mendapatkan akses ke beberapa lokasi bersejarah serta menguruskan keperluan penggambaran, termasuk penerbangan dron.
Album yang menghimpunkan 10 lagu selawat itu dijadualkan dilancarkan pada 21 Ogos ini sempena sambutan Maulidur Rasul.
Menurut Hafiz, peluang bekerjasama dengan pihak Uzbekistan bukan sekadar membuka ruang untuk menghasilkan karya dengan latar visual yang berbeza, malah menjadi platform untuk memperkenalkan keindahan serta warisan Islam di negara berkenaan kepada masyarakat Malaysia dan peminat muziknya.
“Kerajaan Republik Uzbekistan melalui Uzbekistan Tourism Committee memberikan kita sokongan dan kerjasama yang terbaik. Mereka memberikan akses kepada lokasi-lokasi yang kita tidak boleh akses sendiri, termasuk urusan menerbangkan dron kerana di sana banyak perkara yang tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
“Dalam masa yang sama, mereka berharap album ini dapat memperkenalkan Uzbekistan kerana kita biasa mendengar nama negara itu, tetapi mungkin tidak begitu mengetahui apa yang sebenarnya ada di sana. Jadi apabila saya mendapat peluang ini, itulah yang saya mahu tampilkan menerusi tujuh muzik video tersebut,” katanya.
Dari segi muzik, Salawat The Beloved menghimpunkan selawat yang lazim didengari masyarakat seperti Sallallahu ‘ala Muhammad dan Ya Nabi Salam ‘Alaika, namun diolah dengan susunan muzik yang lebih luas menerusi penggunaan elemen orkestra.
Hafiz berkata, pendekatan itu diambil bagi memberikan identiti tersendiri kepada karya berkenaan selain memastikan muziknya seiring dengan kekuatan visual yang dirakam di beberapa lokasi bersejarah.
“Semua lagu dalam album ini ialah selawat biasa seperti Sallallahu ‘ala Muhammad dan Ya Nabi Salam ‘Alaika. Cuma kita masukkan bunyi orkestra supaya ia lebih indah dan kita pelbagaikan susunan muzik agar bersesuaian dengan visual.
“Saya bukan hendak mengatakan selawat mesti disampaikan dengan kompang atau beduk. Kalau boleh, saya mahu meletakkan selawat ini pada kelasnya yang tersendiri seperti album-album saya sebelum ini. Itu yang saya cuba lakukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz turut meneruskan kerjasama dengan jenama pakaian Muslimah, Siti Khadijah, yang akan berlangsung sepanjang tempoh promosi Salawat The Beloved sehingga musim Aidiladha tahun depan.
Menurut Hafiz, kerjasama tersebut tercetus selepas dia mencadangkan kepada pihak Siti Khadijah untuk bersama-sama menjayakan projek berkenaan.
Katanya, konsep visual album yang menggunakan tona kebiru-biruan dan earth tone secara kebetulan mempunyai persamaan dengan koleksi lelaki Siti Khadijah, khususnya koleksi Teman.
“Kebetulan album saya bertajuk Salawat The Beloved, manakala Siti Khadijah mempunyai tagline Lambang Cinta Abadi. Apabila kami berbincang dan membentangkan konsep album ini dengan visual yang kami bayangkan di Uzbekistan, yang banyak menggunakan warna kebiru-biruan dan earth tone, ia kebetulan sama dengan koleksi yang bakal dikeluarkan, khususnya koleksi lelaki, Teman,” katanya.
Hafiz berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar membabitkan pemakaian pakaian daripada jenama berkenaan, sebaliknya merangkumi beberapa perancangan promosi album sehingga tahun depan.
Mengulas mengenai proses penghasilan album, Hafiz berkata, Salawat The Beloved sebenarnya sudah dirakam sejak November tahun lalu dan keseluruhan rakaman diselesaikan sebelum Ramadan.
The post Hafiz Hamidun bawa Salawat The Beloved ke Uzbekistan appeared first on Utusan Malaysia.
