Hafizuddeain, 2 Isteri Direman, Bantu Siasatan Kes Rasuah Perolehan Ketenteraan

LocalPolitics
8 Jan 2026 • 3:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Mantan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan direman tujuh hari, bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan perolehan ketenteraan.

Turut direman ialah dua isterinya, masing-masing selama enam hari hingga Selasa dan tiga hari hingga Sabtu.

Terdahulu, mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan pada jam 3 petang semalam.

Permohonan reman ke atas ketiga-tiga individu terbabit dibuat di Kompleks Mahkamah Putrajaya pagi tadi.

Mereka yang tiba di mahkamah pada jam 10.02 pagi dengan menaiki dua kenderaan SPRM dilihat mengenakan pakaian lokap berwarna oren serta bergari, sebelum diiring masuk ke dalam bangunan mahkamah.

Sumber SPRM memberitahu, perintah reman tersebut membolehkan pihak penyiasat menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan rasuah berkaitan kontrak perolehan tentera.

“Ia mencerminkan usaha berterusan SPRM dalam membanteras amalan rasuah di peringkat tertinggi institusi negara,” katanya. 

Sementara itu BERNAMA melaporkan, perintah reman ke atas Hafizuddeain dan kedua isterinya dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah.

Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili bekas PTD berkenaan ketika ditemui berkata, anak guamnya belum sihat sepenuhnya dan masih dalam proses pemulihan.

"Pihak kami memberi ruang untuk pihak SPRM melakukan siasatan, dan kami juga memohon kepada mahkamah agar beliau mendapat akses kepada peguam semasa siasatan dijalankan," katanya selepas proses reman itu selesai.

Terdahulu, pegawai SPRM pada 23 Disember lepas hadir ke Kementerian Pertahanan, dengan tumpuan terarah kepada beberapa projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Pada Selasa, suruhanjaya terbabit menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM. - Getaran, 8 Januari 2026