
KUALA LUMPUR - Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan (gambar), telah direhatkan daripada tugas berkuat kuasa serta-merta.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan tersebut diambil bagi memudahkan proses siasatan ke atas Hafizuddeain dilakukan.
Menurut beliau, langkah pentadbiran tersebut bertujuan membolehkan pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan tanpa sebarang kemungkinan konflik kepentingan.
Walaupun tidak memperincikan perkara itu, Mohamed Khaled dieprcayai merujuk kepada dakwaan melibatkan seorang pegawai kanan tentera, yang dikatakan menerima bayaran tidak sah berkaitan kontrak pertahanan.
“Kementerian menegaskan bahawa keputusan untuk merehatkan Panglima Tentera Darat adalah satu langkah prosedur bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan telus sehingga selesai,” katanya.
Terdahulu, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya telah dakwaan rasuah membabitkan perolehan ketenteraan, dengan penelitian kini tertumpu kepada kontrak pertahanan serta transaksi kewangan berkaitan projek yang diterima sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.
Jelas sumber, siasatan yang bermula pada 23 Disember lalu memasuki fasa baharu apabila penyiasat memanggil beberapa saksi dan menganalisis rekod perbankan.
Katanya, tiga individu dipanggil pada 24 Disember lalu bagi merakam percakapan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang diperluaskan.
Dapatan awal menunjukkan sebanyak 158 projek perolehan ketenteraan bernilai melebihi RM500,000 telah diberi, selain 4,521 projek lain bernilai di bawah jumlah tersebut antara 2023 hingga 2025.
Dalam perkembangan lain, Khaled memberitahu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, telah dilantik untuk memangku tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia secara sementara, berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan persaraan mandatori Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang mencapai umur persaraan wajib.
“Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti, kepimpinan dan sumbangan Mohd Nizam sepanjang tempoh beliau menerajui Angkatan Tentera Malaysia.
“Kementerian mengucapkan selamat bersara, dengan harapan urusan persaraannya berjalan lancar,” katanta. - Getaran, 27 Disember 2025
