Haier sasar 30% pertumbuhan jualan di Malaysia menjelang Disember ini
zulfadli
26/10/2023 - 16:19
KUALA LUMPUR 26 Okt - Haier mengukuhkan komitmennya kepada Malaysia dengan menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak 30% menjelang Disember 2023.
Pada 2022, Haier mencatatkan 25% pertumbuhan jualan tahun ke tahun, susulan penerimaan pasaran yang lebih tinggi.
Hal ini diperkuatkan lagi dengan kepercayaan dan keyakinan berterusan daripada pelanggan, dibuktikan oleh pengiktirafan kepada Haier sebagai 'Jenama Perkakas Utama No. 1 Global' selama 14 tahun berturut-turut sejak 2009.
Pengarah Urusan Haier Malaysia Fan Jing berkata, pihaknya menawarkan rangkaian lengkap peralatan rumah berkualiti yang direka khas untuk memberikan keselesaan dan kemudahan serta memenuhi keperluan pelanggan.
"Keperluan pengguna adalah aspek terpenting dalam pembangunan produk Haier. Dengan adanya pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di seluruh dunia, ia membantu kami dalam hal ini.
"Kami secara konsisten menjalankan penyelidikan pasaran dan terlibat dalam maklum balas dengan pelanggan dan peniaga untuk lebih memahami kehendak dan keperluan di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Jing, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kepuasan melalui perhatian dan interaksi yang terperinci.

"Melangkah ke hadapan, kami melihat Malaysia terus menjadi pasaran utama bagi Haier seperti dua dekad yang lalu. Kami berharap agar dapat terus memenuhi jangkaan rakyat Malaysia dan berkembang bersama mereka," katanya.
Terdahulu, jenama perkakasan rumah dan elektronik pengguna itu melancarkan sembilan produk terkini, antaranya sebuah peti sejuk, dua mesin basuh, mesin pengering, hud pengudaraan dan dapur memasak, dua TV, dan satu pemanas air.
Sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan, Haier sedang mengembangkan rangkaian peruncitannya di Malaysia dengan menambah lebih banyak Haier Brand Shops bagi memperluaskan capaian dan mendekatkan jenama itu kepada pelanggan.
Sehingga kini, terdapat 43 Haier Brand Shops yang beroperasi di lokasi-lokasi utama dan bandar-bandar besar di seluruh negara.
Pengembangan ini membolehkan pengguna melihat produk-produk terkini Haier dan teknologi yang direka dengan falsafah ‘Smart Living’, dalam usaha syarikat itu untuk terus menambah baik gaya hidup pengguna dengan teknologi inovatif. - DagangNews.com

