Hajat Pen & Buku Tak Tertunai, Budak 10 Tahun Tinggalkan Surat Buat Ibu Sebelum ‘Pergi’ Selamanya

WorldFamily & Parenting
5 Feb 2026 • 11:11 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

LUAR NEGARA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah pondok berhampiran pokok cengkih dalam kejadian menyayat hati di Kabupaten Ngada, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Menurut laporan media tempatan Kompas, mangsa dipercayai bertindak meninggalkan sepucuk surat tulisan tangan khas buat ibunya sebelum kejadian.

Surat berkenaan seolah-olah menjadi pesanan terakhir, malah kandungannya menyentuh hati apabila mangsa meminta ibunya tidak bersedih serta merelakan pemergiannya.

Surat ditemui di lokasi kejadian, tulisan sepadan buku sekolah

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Ngada, Inspektor Dua Benediktus E. Pissor berkata, hasil siasatan awal mendapati kematian mangsa dipercayai berpunca daripada tindakan membunuh diri.

Katanya, surat yang ditemui di lokasi kejadian dipercayai ditulis sendiri oleh mangsa selepas perbandingan dibuat dengan tulisan dalam buku latihan sekolahnya.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat persamaan ketara antara tulisan dalam surat tersebut dengan buku latihan mangsa,” jelas beliau.

Bagaimanapun, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi memastikan tiada unsur lain terlibat.

Kelihatan murung sebelum tragedi

Beberapa saksi memaklumkan mereka sempat melihat mangsa pada pagi kejadian sekitar jam 8 pagi dalam keadaan sugul dan banyak berdiam diri.

Dua penduduk yang terserempak dengannya berkata, mangsa hanya duduk bersendirian di luar pondok. Mereka sempat bertanya tentang neneknya serta sebab dia tidak hadir ke sekolah, namun kanak-kanak itu kelihatan murung.

Tidak lama selepas itu, mangsa ditemui tidak bernyawa.

Hidup serba kekurangan, permintaan beli buku tak tertunai

Ibu mangsa yang berusia 47 tahun memaklumkan anaknya bermalam bersamanya sehari sebelum kejadian.

Keesokan paginya, dia menghantar mangsa ke pondok neneknya dengan menaiki motosikal kira-kira jam 6 pagi.

Wanita itu mengakui kehidupan mereka sekeluarga amat sukar kerana kekangan kewangan.

“Saya sempat pesan supaya rajin ke sekolah, tetapi kami memang hidup dalam serba kekurangan,” katanya.

Seorang penduduk tempatan turut mendedahkan mangsa telah lama tinggal bersama neneknya yang berusia sekitar 80 tahun kerana kurang perhatian keluarga.

Difahamkan, bapanya meninggal dunia sebelum mangsa dilahirkan, manakala ibunya pula terpaksa membesarkan lima anak seorang diri.

Lebih memilukan, sebelum kejadian mangsa dilaporkan ada meminta wang untuk membeli buku dan alat tulis sekolah, namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi.

Situasi tersebut dipercayai memberi kesan emosi mendalam kepada kanak-kanak berkenaan sehingga membawa kepada tindakan tragis itu. – The Malaysian Update

The post Hajat Pen & Buku Tak Tertunai, Budak 10 Tahun Tinggalkan Surat Buat Ibu Sebelum ‘Pergi’ Selamanya appeared first on The Malaysian Update.