SHAH ALAM - Ibadah haji dan korban bukan sekadar ritual tahunan atau simbol kesolehan seseorang Muslim.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, dua ibadah itu sebenarnya merupakan proses pendidikan jiwa dan pembangunan karakter insan yang mampu membentuk integriti, disiplin serta keberanian moral dalam masyarakat.
Menurutnya, masyarakat perlu melihat ibadah haji dan korban sebagai satu proses membina nilai moral bangsa, bukan hanya mengejar gelaran ‘haji’ atau sekadar melaksanakan ibadah korban atas nama tradisi.
“Seluruh perjalanan haji sebenarnya mendidik manusia menjadi lebih amanah, sabar, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap setiap tindakan yang dilakukan.
“Ibadah haji tidak boleh diakhiri hanya dengan gelaran semata-mata. Apa yang lebih penting bagaimana ibadah itu membentuk graviti moral seseorang insan. Seluruh proses haji adalah pendidikan pembangunan karakter manusia,” katanya.
Tambah Nurhayati, setiap rukun dan manasik haji mengandungi nilai integriti sangat besar sekiranya dihayati dengan sebenar-benarnya.
Ujarnya, pendidikan integriti itu bermula sejak seseorang Muslim mengenakan ihram. Pakaian putih yang sama dipakai oleh semua jemaah melambangkan bahawa manusia itu sama di sisi ALLAH tanpa mengira pangkat, kekayaan atau kedudukan.
“Jika seluruh penghayatan haji itu dipatuhi dan dihayati, kita sebenarnya mampu melawan rasuah, ketamakan, penipuan serta penyalahgunaan kuasa.
“Dalam ihram, segala simbol dunia ditanggalkan. Menteri, bos besar atau orang biasa semuanya sama di hadapan ALLAH. Di situlah kita belajar, kuasa bukan kekebalan dan harta bukan ukuran kemuliaan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyifatkan ihram sebagai ‘deklarasi perang’ terhadap budaya kronisme, elitisme dan penyalahgunaan kuasa yang semakin membarah dalam masyarakat.
“Tak ada potong line, tak ada kabel. Semua sama di hadapan ALLAH. Itu adalah bentuk integriti paling tinggi apabila kita melakukan sesuatu seolah-olah ALLAH sedang melihat kita,” katanya.
Mengulas mengenai wukuf di Arafah, Nurhayati berkata, ia merupakan detik muhasabah terbesar untuk manusia menilai kembali amanah yang dipikul dalam kehidupan.
“Wukuf mengajar kita untuk berhenti sejenak dan berfikir. Kita introspeksi diri, adakah kita pernah mengambil hak orang lain, memanipulasi kuasa atau mengkhianati amanah yang diberikan?
“Rasa takut dan malu terhadap pengkhianatan amanah itu penting bagi membentuk manusia yang memiliki kompas moral yang kuat,” katanya.
Dalam masa sama, ujar beliau, perjalanan tawaf dan sa’i turut mengajar manusia tentang disiplin, kesabaran dan istiqamah.
Beliau turut menegaskan budaya tidak menghalalkan cara, mengejar kekayaan segera dan menggunakan kabel akhirnya akan meruntuhkan sesebuah bangsa.
“Tawaf tidak boleh tergesa-gesa. Sa’i juga perlu dilaksanakan mengikut aturan. Ia mengajar bahawa kejayaan sebenar tidak datang melalui jalan pintas, penipuan atau manipulasi.
“Jika penipuan dan manipulasi menjadi budaya kolektif masyarakat, negara boleh runtuh dengan dahsyat,” ujarnya.
Ulasnya lagi, korban merupakan simbol melawan nafsu dan sifat tamak dalam diri manusia.
Kata Nurhayati, korban mendidik manusia supaya berkongsi rezeki, membantu golongan memerlukan dan meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan diri sendiri.
Menurut beliau, ibadah korban melahirkan nilai kepimpinan berkhidmat iaitu pemimpin yang sanggup memberi, berkongsi dan memikul amanah rakyat, bukan hanya mahu dilayan.
Beliau turut menegaskan bahawa rasuah sebenarnya bermula daripada hati yang gagal mengawal ketamakan serta hilangnya kompas moral dalam diri manusia.
“Rasuah tidak bermula di pejabat atau di bawah meja semata-mata. Ia bermula daripada hati yang menghalalkan cara dan gagal mengawal nafsu.
“Hipokrasi dan kemunafikan juga berlaku apabila agama hanya dijadikan simbol tanpa penghayatan sebenar terhadap nilai yang dibawa.
“Haji yang mabrur dan korban yang diterima ALLAH SWT akan membentuk bangsa yang bermaruah tinggi, berintegriti dan berani menolak rasuah walaupun berpeluang melakukannya,” katanya.
Beliau berharap masyarakat dapat menjadikan ibadah haji dan korban sebagai asas membina negara yang bebas rasuah dan mempunyai karakter moral yang tinggi.
“Kita mahu rakyat dan pemimpin yakin bahawa maruah lebih mahal daripada keuntungan dan integriti lebih bernilai daripada kedudukan. Kita mesti berani jujur walaupun kelihatan rugi di mata dunia,” katanya.
