Haji: Titik Permulaan Untuk Berubah Jadi Lebih Baik - Idris

LocalPolitics
9 Jul 2022 • 9:30 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jemaah haji dari seluruh dunia mula berhimpun untuk Wukuf di Arafah. - Gambar hiasan Unsplash

Jemaah haji Malaysia disaran mengambil pengalaman ketika mengerjakan Rukun Islam Kelima itu sebagai titik permulaan untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.

Ketika menyampaikan Khutbah Arafah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata perlaksanaan ibadah itu bukan sahaja mewujudkan keghairahan beribadah tetapi juga telah memupuk semangat persaingan sihat.

image is not available
Idris Ahmad (kanan) ketika menyampaikan Khutbah Arafah kepada jemaah Malaysia semalam. - Gambar Bernama

“Apabila kita pulang ke tanah air kelak hendaklah kita mengambil pengalaman daripada haji ini. Ia sebagai titik perubahan bagi menamatkan saki-baki kehidupan kita dengan memelihara segala perintah Allah dalam kesatuan iman, ibadah, pergaulan, jual beli dan bermuamalah hendaklah semuanya berlandaskan syariat Islam yang lengkap dan syumul,” katanya.

Beliau berkata jemaah haji juga telah dilatih supaya bersatu serta berganding bahu dan menjalin hubungan yang erat tanpa mengira warna kulit, bahasa dan adat resam sesama saudara Islam.

Katanya, ibadah itu membuktikan bahawa tiada perbezaan sesama manusia dan kebersamaan itu  lahir atas kepatuhan kepada Allah.

image is not available
Gambar Bernama

Idris turut mengingatkan bahawa hawa nafsu sekiranya tidak dikawal, ia akan mendorong manusia ke arah kejahatan dan kemungkaran.

Idris menyampaikan khutbah berkenaan di salah sebuah surau yang terdapat di perkhemahan jemaah haji Malaysia di sini, kira-kira pukul 12.26 tengah hari waktu Arab Saudi semalam.

Sementara itu, selepas selesai Khutbah Arafah jemaah haji melaksanakan solat sunat sebelum solat fardu Zohor dan Asar (jamak takdim secara tamam), seterusnya mengerjakan solat sunat selepas Zohor dan solat sunat Asar.

Ia disusuli dengan talbiah dan zikir yang memberi peluang kepada setiap jemaah haji berdoa serta memohon keampunan.

image is not available
Gambar Bernama

Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji serta merupakan rukun haji yang kedua dan selepas ini jemaah akan bergerak meninggalkan Arafah bagi mengerjakan ibadah haji seterusnya di Muzdalifah, melontar tiga jamrah di Mina, tawaf dan saei. 

Terdahulu, Idris yang turut diiringi Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin serta Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sempat melakukan lawatan di sekitar khemah penginapan jemaah.

Beliau turut mengunjungi beberapa jemaah yang uzur dan sakit di khemah khas yang menyediakan perkhidmatan peneman untuk memudahkan urusan mereka.

Perkhidmatan itu telah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lepas oleh TH dan kini seramai 25  jemaah  dibenarkan mendapat perkhidmatan berkenaan. - Bernama