
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung selama dua hari itu merupakan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Bagaimanapun, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu masih mengunci mulut mengenai tarikh pembubaran DUN Sabah, yang sepatutnya akan terbubar sendiri pada 11 November depan.
“Kira-kira begitulah itu (sidang DUN terakhir). Tapi tarikh itu tidak boleh saya bagi sekarang. Tunggu hingga kita sudah tetapkan, nanti kita panggil semua kawan-kawan daripada media untuk kita umumkan bila tarikhnya,” katanya kepada pemberita selepas selesai menghadiri sidang DUN di sini, pada Selasa.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Ditanya mengenai rundingan kerusi bersama rakan parti, Hajiji berkata perbincangan sudah dimulakan dan sedang diperhalusi.
“Kita sudah mengadakan satu, dua pertemuan dengan kawan-kawan yang perlu, jadi kita akan muktamadkan nanti sebelum kita bubar DUN,” katanya.
Beliau berkata kerajaan pada masa ini dibentuk oleh GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Yang jelas sekarang kerajaan hari ini ialah GRS-PH, itu asas kita. Yang lain nanti kita tengok bagaimana,” katanya ringkas.
Hajiji turut menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah berusaha sedaya upaya membawa kemajuan sepanjang hampir lima tahun pentadbiran.
Menurutnya, pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat termasuk aspek kebajikan, pendidikan, infrastruktur serta penyelesaian isu warisan seperti bekalan air.
“Kita sudah buat yang terbaik untuk rakyat, walaupun masih banyak lagi yang patut kita lakukan. Ada lagi masalah-masalah seperti masalah air yang kita warisi dari dulu tetapi kerajaan hari ini telahpun dan sedang laksanakan projek-projek menaik taraf loji-loji untuk meningkatkan bekalan air kita di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan sesi kali ini sebagai platform penting untuk membentangkan pencapaian kerajaan sepanjang penggal.
“Cukup baik, kerajaan dapat membentangkan ataupun memberitahu perkara-perkara atau inisiatif kerajaan yang telah kita jayakan selama kita menjadi kerajaan hampir lima tahun ini, dan sekarang kita hanya tunggu bila kita akan mengadakan pilihan raya.
“Persidangan DUN telahpun selesai, semua Rang Undang-Undang (RUU) telahpun diluluskan, jadi apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan negeri terutama sekali RUU mengenai dengan karbon, hutan dan tanah.
“Selain itu juga kelulusan anggaran perbelanjaan tambahan yang diperlukan oleh kerajaan dalam pengurusan dan juga pembangunan sehingga akhir tahun,” ujarnya.
