Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor menggesa seluruh jentera Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah terus diperkasa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka tidak lama lagi.
Hajiji yang juga Ketua Bersatu Sabah berkata, walaupun parti ini merangkumi Srikandi (wanita) dan Armada (pemuda) sentiasa bersedia, namun mereka masih perlu dipergiatkan.
“Bersatu di Sabah sudah bersedia menghadapi pilihan raya dan jentera pilihan raya kita sentiasa aktif memandangkan kita baru menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 lalu.
“Saya juga dimaklumkan jentera Srikandi telah pun menjalankan jerayawara dan turun ke kawasan masing-masing.
“Oleh itu, saya mengarahkan Srikandi untuk terus memperkasakan gerak kerja di kawasan parlimen masing-masing,” katanya sempena ‘Majlis Malam Mesra’ Malaysia Srikandi bersama Ketua Menteri, di sini Sabtu lepas.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap majlis itu dapat mengukuhkan dan berkongsi pengalaman dalam kalangan anggota Srikandi di Sabah dan semenanjung khususnya dalam menghadapi PRU15 akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata banyak kejayaan telah dicapai sejak GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) menerajui Sabah sebagai kerajaan negeri yang memerintah.
“Tahun lalu, Sabah mencatatkan hasil negeri sebanyak RM5.4 bilion, walaupun dilanda pandemik dan politik tidak stabil terutama di peringkat persekutuan.
“Mungkin tahun ini hasil negeri akan bertambah lagi dan semua ini adalah hasil dasar yang kita perkenalkan melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta perpaduan dalam mencapai kejayaan ini,” katanya sambil menambah nilai pelaburan itu sepanjang Januari hingga September 2022 adalah sebanyak RM9.9 bilion.
Hadir sama, Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Redonah Bahanda dan Ketua Armada Bersatu Sabah, Fairuz Renddan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


