Hajiji kagum keupayaan Buatin tawan puncak Kinabalu

13 Oct 2022 • 1:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: “Saya cukup gembira dan terharu kerana berpeluang bersemuka dan berbual dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Ini merupakan satu penghargaan yang sangat bermakna kepada saya”, demikian reaksi Buatin Balandong, warga emas berusia 90 tahun yang berjaya mendaki Gunung Kinabalu ketika menemui Ketua Menteri Sabah di pejabatnya, pada Rabu.

Berasal dari Papar, Buatin merupakan pendaki tertua berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

Beliau yang juga seorang pesara kerajaan, mencipta rekod terbaru itu pada awal September 2022 apabila berjaya sampai di puncak tertinggi negara, sambil dipimpin oleh anaknya.

Hajiji yang kagum dengan keupayaan warga emas itu mengucapkan tahniah atas kejayaannya mendaki gunung Kinabalu pada usia 90 tahun.

Sebagai menghargai kejayaan luar biasa itu, Hajiji menghadiahkan Sigar (tanjak) kepada Buatin semasa pertemuan itu.

Buatin diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan dua orang anaknya Andrew dan Doris. Juil merupakan cucu kepada Buatin, sementara Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali adalah cicit beliau.

“Walaupun seorang warga emas, Buatin memang hebat. Begitu cekal, kuat, mempunyai stamina tinggi sehingga mampu mendaki Gunung Kinabalu. Ini amat luar biasa dan mengkagumkan”, kata Hajiji.

Berkongsi pengalamannya, Buatin berkata tanpa semangat dan jiwa yang kuat dan kental, tidak mungkin beliau mampu melakukannya kerana pada hari pendakian, hujan turun dengan lebat, berkabus dan cuaca juga amat sejuk ketika itu.

“Syukur, saya berjaya mengharungi dugaan dan cabaran itu sehingga berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Itu merupakan pendakian saya yang ke-8. Kali terakhir saya mendaki Gunung Kinabalu ialah pada tahun 2015, sebelum berlaku gempa bumi,” jelasnya.

Buatin digelar ‘atok’ oleh netizen apabila sebuah rakaman yang dikongsikan pengguna TikTok @iceeminn123 memaparkan detik-detik kejayaan beliau ketika sampai di puncak tertinggi negara, sambil dipimpin seorang pendaki lain,awal September lalu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.