Hajiji sahkan Shahelmey akan bersama GRS pada PRN17

LocalPolitics
18 Aug 2025 • 12:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PUTATAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan Datuk Ir. Shahelmy Yahya akan bersama GRS seterusnya mewakili gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN17).

Beliau yang juga Ketua Menteri turut yakin Shahelmy sebagai wakil rakyat Tanjung Keramat dan Ahli Parlimen Putatan akan mempertahankan kerusi itu seterusnya menyumbang kerusi kepada GRS.

“Tetap menang punya (kerana) dia (Shahelmy) Adun (penyandang kerusi Tanjung Keramat) dan dia juga Ahli Parlimen (Putatan). (akan) Menang punya.

“Dia (Shahelmy) akan ikut siurang (GRS pada PRN17),” katanya ketika ditanya kemungkinan Shahelmy bakal mengalami kesukaran mempertahankan kerusi itu kerana kemenangan beliau sebelum ini atas tiket Umno.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Anak Muda Bersama Ketua Menteri yang diadakan di Dewan Sri Putatan, di sini, Ahad.

Shahelmy yang juga Menteri Kerja Raya telah memenangi kawasan Dun Tanjung Keramat atas tiket Umno/Barisan Nasional (BN) pada PRN16 lalu.

Bagaimanapun, Umno Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebelum ini telah mengumumkan Shahelmy tidak akan dicalonkan semula pada PRN17 nanti susulan tindakan beliau yang tidak menyokong ‘Langkah Kinabalu’.

Selepas PRN16 lalu, GRS dan Umno telah membentuk pakatan kerajaan namun kedua belah pihak ‘berpatah arang’ ekoran ‘Langkah Kinabalu’ diketuai Umno untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.

Usaha itu tidak berjaya apabila Hajiji mendapat sokongan rakan Pakatan Harapan (PH) Sabah bersama beberapa wakil rakyat Umno termasuk Shahelmy.

Dalam perkembangan sama, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dalam ucapannya yakin selain Tanjung Keramat, dua lagi kerusi di bawah Parlimen Putatan akan dimenangi GRS pada PRN17 nanti.

Beliau berkata, di bawah pentadbirannya, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif membabitkan pendidikan, kebajikan, sosial dan ekonomi rakyat.

Katanya, semua inisiatif berkenaan dilaksanakan di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memenuhi segala keperluan rakyat di semua peringkat.

“Insha Allah, kita akan meraih kemenangan di ketiga-tiga kerusi di bawah Parlimen Putatan ini iaitu Tanjung Keramat, Petagas dan Tanjung Aru pada PRN17 nanti,” katanya.