KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyangkal wujudnya 'Blok Borneo' seperti yang didakwa sesetengah pihak baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian daripada Malaysia dan tidak pernah wujud sebarang blok berasingan sebagaimana didakwa.
"Blok Borneo ini tidak ada. Kita ini dalam negara Malaysia, satu negara. Tidak ada Blok Borneo, Sabah, Sarawak, Semenanjung, tidak ada begitu.
"Jadi, saya ingin nyatakan bahawa kita ini dalam satu negara dan perlu ada kerjasama semua pihak negeri dan Persekutuan, negeri-negeri jiran untuk mencemerlangkan lagi negara kita Malaysia ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran SENTOSA Tahun 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu pada Khamis.
**media[3453773]**
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan menggunakan Blok Borneo yang dicetuskan oleh pihak tertentu baru-baru ini.
Menurutnya, naratif yang cuba memisahkan wilayah dalam Persekutuan adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat.
"Kalau pandangan saya, memang tidak ada Blok Borneo ini. Siapa yang wujudkan Blok Borneo? Tidak ada. Jadi tidak timbul isu itu.
“Naratif begitu saya ingat perlu diperbetulkan. Kita tidak boleh pisahkan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Kita dalam satu negara," tegasnya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai konflik di Timur Tengah yang mungkin memberi kesan terhadap kos minyak dan logistik di Sabah, beliau berkata kerajaan negeri sedang memantau keadaan tersebut.
"Ya, memang kita pun sedang memantau keadaan. Memang kadang-kadang kalau ada konflik yang begini, terutama yang melibatkan negara-negara pengeluar minyak dan sebagainya.
"Tentu ia ada kesan, bukan saja kepada negara kita, tapi kepada seluruh negara di dunia," katanya.
