
SUKAU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegur pihak yang memperlekeh Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan menjadikannya bahan sindiran terhadap Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, perbuatan pihak terbabit, khususnya pembangkang bukan saja tidak wajar, malah tidak menghormati ‘Sabah Maju Jaya’ sebagai cogan kata rasmi yang terkandung dalam jata atau lambang kebesaran Negeri Sabah.
Katanya, inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan SMJ dalam pelan pembangunannya juga adalah untuk memartabat dan memperkasakan lagi cogan kata negeri Sabah yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan negeri ini.
“Kita pilih nama SMJ kerana ia terletak di jata Sabah sejak awal kemerdekaan kita.
SPONSORED CONTENT Shell’s Access to Energy helps power lives of isolated communities in Sabah Kota Kinabalu: In 2017, Sabah Shell Petroleum Co Ltd (SSPC) launched Access to Energy (A2E), a Shell Social Investment programme aimed at providing affordable and continuous supply of electricity from renewable sources for communities who live without connection to the electricity grid. Read more “Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang, SMJ air tiada.
“Ini niat tidak baik dan terlalu negatif kerana bagi kita, SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah,” katanya.
Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian pada Majlis Himpunan PGRS Bahagian Sukau dan Lamag di Dataran Pekan Sukau, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Naib Presiden PGRS, Datuk Masiung Banah; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Setiausaha Agung PGRS, Datuk Mohd Razali Razi; Ketua Penerangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ketua Bahagian PGRS Sukau, Datuk Juhari Janan dan Ketua Bahagian PGRS Lamag, Abu Bakar Gapar serta Timbalan Ketua PGRS Bahagian Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman.
Kira-kira 20,000 penduduk setempat dan dari luar Sukau menghadiri program berkenaan yang juga menampilkan persembahan artis jemputan, pameran dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Hajiji berkata, ketika ini SMJ bukan saja diiktiraf di negeri ini, malah turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bersetuju menjadikan ‘SMJ’ sebagai nombor plat khas kenderaan kerajaan negeri.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin PGRS mempunyai masa depan yang cerah untuk menarik sokongan rakyat di seluruh negeri termasuk di kawasan Lamag dan Sukau.
“Saya cukup gembira pada hari ini kerana nampak bahawa Gagasan Rakyat sudah mula diterima di Lamag dan Sukau.
“Gagasan Rakyat adalah parti tempatan yang kita tubuhkan untuk teruskan perjuangan kita di Sabah dan ia adalah ahli GRS. Dalam GRS kita ada tujuh parti yang akan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah pada masa akan datang.
“Inilah yang kita buat kerana himpunan rakyat dan pelancaran parti ini memberi cerminan kepada kita bahawa Sukau dan Lamag memerlukan Gagasan Rakyat untuk maju ke hadapan,” ujarnya.
“Percayalah, kalau kita bersatu hati dan bekerja betul untuk rakyat, kita boleh lakukan, kita boleh tukar keadaan Sukau dan Lamag sepeti mana dikehendaki rakyat kawasan ini,” katanya.
Hajiji juga memberi jaminan akan memberi tumpuan kepada Lamag dan Sukau, terutama keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
Sejajar dengan itu, beliau bersetuju meluluskan projek membina sebuah Dewan di Sukau bernilai RM3 juta dan menyokong cadangan menjadikan Sukau sebagai sebuah daerah kecil.
“Kerajaan GRS akan memastikan Daerah Kecil Sukau menjadi kenyataan. Ini sudah lama dicadangkan tapi tidak diperjuangkan oleh pimpinan dulu,” jelasnya.
“Hari ini kita akan jadikannya kenyataan dan kita akan pastikan Pejabat Daerah Kecil Sukau dapat dibina,” tegasnya.
Sementara itu, Juhari berkata rakyat mahukan parti tempatan, dan sudah pasti suara negeri Sabah di bawah kepimpinan Hajiji atau PGRS didengar oleh kerajaan persekutuan.
Mengenai perkembangan Sukau, Juhari berkata, keperluan jalan dan air serta tanah juga sudah pasti akan dilihat oleh kerajaan di bawah Hajiji.
“Sukau yang menjadi tumpuan pelancong juga memerlukan hotel atau penginapan sebagai nilai tambah untuk menampung keperluan pengunjung ke sini untuk menikmati keindahan alam, sungai dan hidupan liarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, kawasan Lamag atau Kinabatangan juga memerlukan sebuah kompleks sukan untuk anak-anak tempatan melakukan aktiviti sukan dan latihan.
“Kita juga berharap cadangan pewujudan bandar baru Kota Kinabatangan dapat diwujudkan semula kerana ia telah tertangguh sekian lama,” jelasnya.
“Dengan adanya bandar baru itu, sudah pasti pembangunan di sini juga dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” tambahnya.
Pada Sabtu, Kerajaan Sabah menerusi Jabatan Tanah dan Ukur Negeri menyerahkan sebanyak 344 Geran Tanah Anak Negeri kepada penduduk tempatan dari 34 kampung di sini.
Hajiji menyerahkan geran-geran tanah itu melibatkan jumlah keluasan sebanyak 722.5 hektar (1,785.4 ekar) pada Majlis Himpunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau/Lamag di Dataran Pekan Sukau, Kinabatangan.
Antara kampung terlibat termasuk Kg Sukau dengan 26 geran, Kg Sungai Teneggang (49), Kg Bukit Garam (24), Kg Sungai Takala (22), Kg Usaha Jaya (51) dan Kg Sinar Jaya (30).
“Daripada 344 geran tanah itu, sebanyak 141 adalah geran tanah hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) dan 203 geran dari proses permohonan tanah biasa,” katanya.
Hajiji berkata kira-kira 8,000 geran tanah telah tersedia dan penyerahannya kepada rakyat akan dilakukan oleh beliau sendiri semasa lawatan ke daerah-daerah, atau oleh wakil rakyat kerajaan.
Hajiji turut menyerahkan Warta Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri Kampung Litang, Sukau seluas 82.3 hektar (203.4 ekar) daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew kepada Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Manap Abd Ruhim.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
