
TAWAU: Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung Tawau di Taman Sawit Balung, yang pembinaannya dirancang sejak 29 tahun lalu menjadi sekolah agama pertama menerapkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pembelajarannya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau tertarik dengan inisiatif pengurusan sekolah baharu berkenaan menggunakan teknologi AI sejajar perkembangan semasa dalam bidang pendidikan.
“Inilah zaman yang kita hadapi pada masa akan datang, teknologinya serba canggih dan bukan saja di sekolah biasa tapi di sekolah agama juga,” katanya.
Beliau mengakui turut tertarik dengan usaha membina sekolah itu yang siap dalam tiga bulan sahaja hasil sumbangan pelbagai pihak sebagai permulaan untuk pembinaan sekolah berkenaan sebelum disusuli bantuan kerajaan untuk membesarkannya.
Kerajaan Negeri, katanya, menyokong cadangan pengurusan sekolah baharu itu bagi mewujudkan sekolah menengah agama sebagai kesinambungan pendidikan agama yang diikuti oleh pelajarnya.
“Ini satu cadangan yang cukup baik kerana bagi kita sekolah menengah agama perlu diperluaskan lagi atau ditambah lagi bilangan di Sabah kerana keperluan masyarakat Islam amat tinggi untuk belajar di sekolah menengah agama.
“Jadi perancangan itu cukup baik, sekolah menengah dan seterusnya mungkin universiti Islam dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan SAN Apas Balung Sabran Zabur Abd Hamid berkata pembinaan sekolah itu menelan belanja sekitar RM1.5 juta dan siap dalam tempoh 80 hari bermula 8 November 2025.
Katanya, projek terbabit merangkumi dua buah bangunan dengan keluasan keseluruhan 13,000 kaki persegi dan mempunyai kapasiti awal seramai 300 orang pelajar dengan enam kelas pembelajaran.
“Secara keseluruhan, terdapat 12 bilik yang disediakan termasuk sebuah kelas khas AI manakala selebihnya digunakan bagi tujuan pentadbiran,”katanya.
Menurutnya, SAN Apas Balung menjadi antara SAN terawal di Sabah dan berkemungkinan di Malaysia yang menampilkan pendekatan pembelajaran yang berbeza dengan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi terkini, khususnya AI, sebagai alat bantu mengajar.
Penubuhan SAN itu, katanya, merealisasikan hasrat bekas Adun Apas Almarhum Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang merancang pembinaan SAN di tapak tersebut sejak hampir 29 tahun lalu.
“Impian tersebut akhirnya terlaksana hasil kerjasama Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui dan pemimpin setempat serta sokongan masyarakat yang proaktif,” katanya.
Sabran berkata pihak pengurusan turut merancang untuk membina sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri di kawasan Apas Balung pada masa akan datang.
Ketika ini, katanya, Sabah hanya mempunyai enam sekolah menengah agama negeri yang mampu menerima kira-kira 360 pelajar setahun sedangkan lebih 6,000 pelajar memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tersebut setiap tahun.
“Harapan kami agar kerajaan dapat menyokong usaha pembinaan sekolah menengah agama negeri ini demi memenuhi keperluan pendidikan agama di Sabah,” katanya.

