
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun terdapat permintaan untuk beliau bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.
“Saya tidak berminat,” kata Hajiji menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Bersatu Bahagian Tuaran Tahun 2022 Kali ke-3 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada 13 Okt.
Hajiji yang juga Pengerusi Bersatu Sabah berkata kemungkinan besar partinya akan meletakkan calon untuk kerusi Tuaran.
“Bagaimanapun, perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS malam ini (Khamis) sebelum dibawa untuk perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) kemudiannya.
“Sebelum ini, secara ‘bisik-bisik’, ia (rancangan sebegitu) memang ‘okey’ tetapi kita perlu buat secara rasmi nanti. Biarlah rasmi (bertanding) apabila tiba masanya nanti,” katanya.
Pada PRU15, GRS yang merangkumi Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) bekerjasama dengan BN dari segi agihan kerusi bagi mengelak pertembungan.
Bagaimanapun, setakat ini, rundingan agihan kerusi antara kedua-dua gabungan itu masih belum dimuktamadkan.
Mengulas lanjut sama ada GRS akan bertembung dengan rakan parti lain yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada gabungan itu, Hajiji berkata perkara itu tidak akan berlaku pada PRU15 ini.
Beliau berkata parti komponen terbabit sudah dianggap sebagai rakan bersekutu GRS yang mereka fokus dan melibatkan perjuangan dalam gabungan itu.
“Kami akan bersama mereka untuk memastikan GRS ini satu gabungan yang kuat dan kami akan memberi apa sahaja peluang yang sepatutnya, termasuk dalam PRU15 akan datang,” katanya.
Antara rakan sekutu GRS ialah Parti Kesejahteraan Democratik Masyarakat (Parti KDM), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) and Parti Cinta Sabah (PCS). Manakala GRS pula terdiri daripada Bersatu, Star, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Usno.
Tuaran merupakan kubu kuat Hajiji sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman sejak 1990.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
