Hak Mahathir nyatakan pendapat: Shafie

Politics
8 Nov 2022 • 1:42 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal enggan memanjangkan isu berkenaan komen Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Warisan.

Shafie berkata, itu terpulang kepada Mahathir dan ia adalah hak Mahathir untuk menyatakan pendapat.

“Saya tidak mahu bertelingkah tetapi sudah cukup untuk saya menyatakan bahawa kita tidak mahu bergabung dengan mana-mana parti. Perubahan perlu kita lakukan.

“Ada pihak menyatakan bahawa saya ini jadi kroni Mahathir, tetapi saya juga berlawan dengan Pejuang. Itu hak dia untuk menyatakan tapi saya yakin, kalau bukan Warisan di Sabah, tidak mungkin dapat membantu Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu sehingga mendapat jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Shafie berkata demikian sebagai mengulas komen Tun Mahathir yang menyifatkan Warisan tidak memiliki kemampuan dan kekuatan jika mahu melaksanakan perubahan melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau ditemui selepas Majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin di Lahad Datu, Isnin yang turut dihadiri wakil rakyat Silam, Dumi Pg. Masdal, wakil rakyat Tungku, Assafal P. Alian dan wakil rakyat Kunak, Norazlinah Arif serta calon Warisan Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal.

Menurut Shafie lagi, beliau tidak mahu memanjangkan perkara ini kerana yang penting adalah rakyat yang menentukan sama ada perkara ini benar atau tidak.

Jelasnya, yang menentukan kemenangan pada pilihan raya di Sabah ini bukan Tun Mahathir tetapi adalah rakyat Malaysia di Sabah.

Dalam pada itu, Shafie turut memberitahu bahawa maklum balas yang diterima setakat ini menunjukkan bahawa pengundi muda berpihak kepada Warisan.

Sambutan baik ini, katanya, bukan hanya kerana Warisan, tetapi kerana Warisan meletakkan calon-calon muda, bukan hanya lelaki tetapi juga wanita serta tidak hanya meletakkan orang-orang lama.

Tambahnya, ini adalah satu proses peremajaan yang dilakukan oleh parti dan yang ditampilkan oleh parti bukan hanya calon muda tetapi yang mempunyai ilmu pengetahuan agar mereka dapat bersuara dengan fakta.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.