Hak pekerja gig kini terjamin, diiktiraf undang-undang – Zahid Hamidi

LocalPolitics
28 Aug 2025 • 9:30 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat merupakan manifestasi jelas kerajaan tidak membiarkan pekerja gig terus berada di pinggiran tanpa perlindungan sosial dan hak yang sah.

“Syukur Alhamdulillah, pada hari ini kita telah menyaksikan satu detik bersejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 berjaya diluluskan di Dewan Rakyat.
“Kelulusan ini menandakan komitmen kerajaan untuk memastikan lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam ekonomi gig mendapat perlindungan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

image is not available

Hak pekerja gig kini terjamin

RUU Pekerja Gig 2025 yang bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu menikmati hak rundingan gaji dan syarat kerja, akhirnya diluluskan setelah dibahaskan oleh 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Undang-undang ini meraih sokongan majoriti melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menyifatkan tindakan pembangkang sebagai keliru dengan perincian cadangan akta berkenaan apabila tidak meletakkan pekerja sektor terbabit sebagai keutamaan.

Zahid menekankan bahawa industri gig bukan lagi fenomena sementara, tetapi telah menjadi nadi baharu ekonomi negara, melibatkan p-hailing, e-hailing, pekerja bebas digital dan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Namun, realitinya sebelum ini ramai pekerja gig masih bekerja tanpa jaminan keselamatan sosial, hak dan suara yang jelas dalam sistem perundangan.
“Sehubungan dengan itu, saya menekankan kepentingan pelaksanaan yang telus, menyeluruh dan berkesan terhadap RUU ini,” tambahnya.

image is not available

Sebagai langkah seterusnya, Zahid akan memantau penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang akan mengawal selia, menyelaras dan memantau perkembangan sektor ini.

Suruhanjaya itu dijangka menjadi pemangkin kepada keseluruhan ekosistem ekonomi perkongsian termasuk pembekal, penyedia khidmat, penyedia platform, pekerja gig dan pengguna.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas dedikasi mereka dalam merangka RUU tersebut.

“Inilah bukti jelas kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan tiada sesiapa pun yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Sumber: FB Zahid Hamidi