Hak Semua Kaum Perlu Dibela, Tolak Politik Dominasi Melayu - PM 

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 4:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Hak Semua Kaum Perlu Dibela, Tolak Politik Dominasi Melayu - PM 

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tanggapan bahawa kelangsungan politik memerlukan beliau mengutamakan dominasi Melayu, sebaliknya menegaskan bahawa kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum perlu terus menjadi keutamaan dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, kedudukan bahasa Melayu, Islam serta keistimewaan orang Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan kekal terpelihara dan tidak seharusnya dipersoalkan.

Namun, pada masa sama, hak dan kebajikan masyarakat lain juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan keamanan serta keharmonian negara terus terjamin.

“Saya mahu mempertahankan prinsip negara dan Perlembagaan kita.

“Tiada sesiapa sepatutnya mempersoalkan kedudukan bahasa Melayu, Islam dan keistimewaan orang Melayu. Tetapi kita perlu ingat, keamanan negara hanya dapat dikekalkan sekiranya keadilan, kejayaan dan kesejahteraan turut dinikmati semua kaum serta setiap rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sambutan Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 di Little India, Brickfields di sini hari ini.

Menerusi ucapan sama, Anwar memberitahu, beliau sedar ada pihak yang mahu dirinya mengubah haluan politik dengan memberi keutamaan kepada dominasi Melayu demi mempertahankan kedudukan politik.

Bagaimanapun katanya, beliau memilih untuk terus membawa pendekatan sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya kelompok atau kaum tertentu.

“Negara mempunyai kemampuan dan sumber yang mencukupi untuk membawa kemakmuran kepada semua, justeru setiap komuniti perlu diberikan ruang serta peluang untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Perdana Menteri memberi ingatan, kemiskinan tidak mengenal batas kaum, sekali gus menuntut usaha berterusan bagi memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

Dalam ucapannya, Anwar turut membidas pihak tertentu yang menjadikan isu perkauman sebagai modal politik, sedangkan tindakan itu hanya mengalihkan perhatian masyarakat daripada persoalan lebih besar, khususnya penipuan dan rasuah.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau berkata, ada individu yang sering melaungkan perjuangan membela nasib kaum masing-masing, tetapi sebenarnya lebih mementingkan kekayaan dan kepentingan keluarga sendiri.

“Mereka bercakap tentang kelangsungan hidup dan kepentingan masyarakat masing-masing, tetapi isu penipuan serta rasuah diketepikan. Isu perkauman pula dimainkan, sedangkan mereka sendiri terus mengumpul kekayaan.

“Lihatlah mereka yang kononnya memperjuangkan nasib masyarakat masing-masing. Ada antara mereka sebenarnya tergolong dalam kalangan individu paling kaya. Perjuangan mereka hanya untuk memperkayakan diri dan keluarga,” katanya.

Menyentuh mengenai masyarakat India, Anwar mengakui masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan perhatian kerajaan, terutama dalam aspek pendidikan termasuk pendidikan bahasa Tamil dan sekolah Tamil.

Selain itu, isu berkaitan rumah ibadat Hindu, cabaran yang dihadapi usahawan India serta kemiskinan dalam kalangan masyarakat bandar dan pekerja ladang turut perlu ditangani.

Tambahnya, sambutan Deepavali bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya membawa mesej penting mengenai keadilan, nilai kemanusiaan dan sikap saling menghormati dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum.

Sambutan bertemakan ‘Cahaya Deepavali, Semarak Perpaduan’ itu dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI).

Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Pelbagai pengisian kebudayaan disajikan sepanjang sambutan, antaranya persembahan tradisional masyarakat India, muzik klasik serta demonstrasi seni mempertahankan diri seperti Silambam, Kalaripayattu dan Karra Samu.

Turut diadakan pameran Rumah KAMI yang mengetengahkan keunikan warisan dan tradisi masyarakat majmuk di Malaysia, merangkumi kaum Melayu, Cina, Tamil, Telugu, Punjabi, Gujarati dan Malayalee. - Getaran, 14 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved